Panas !!! Ebit Lew jawab dakwaan Nadir Al-Nuri

Pendakwah terkenal, Ebit Lew menafikan dakwaan Muhammad Nadir Al-Nuri yang pihaknya membayar ratusan ribu dolar kepada syarikat Hala untuk memasuki Gaza.

Ebit turut menyifatkan dakwaan dibangkitkan Muhammad Nadir itu sebagai fitnah melampau.

Sebaliknya beliau berkata, pasukannya memasuki Gaza dengan bantuan Kedutaan Malaysia di sana dengan dibantu syarikat pelancongan dengan caj jauh lebih murah.

“Saya tidak tahu apa itu syarikat Hala. Saya mendapat maklumat nak masuk ke Gaza satu-satunya melalui NGO Miles of Smiles dengan bayaran satu AS$10,000 atau hampir RM50,000.

“Namun Allah membuka jalan dengan saya mendapat kelulusan dari kedutaan Malaysia dan ada satu syarikat iaitu Lucky Tour yang nak bantu dengan bayaran AS$2,500 atau kira-kira RM10,000 saja.

“Ia bermakna saya semakin memudahkan laluan NGO untuk ke sana dengan bayaran jauh lebih murah,” katanya dalam sesi siaran langsung di laman sosial Instagram, hari ini.

Sebelum ini, Muhammad Nadir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia mendakwa Ebit menggunakan syarikat Hala yang mengenakan bayaran mahal bagi membolehkannya memasuki Palestin.

Muhammad Nadir juga mendakwa kedatangan Ebit ke Gaza menyukarkan lagi usaha badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk memberi bantuan kemanusiaan di Gaza.

Sementara itu, Ebit Lew, berkata Muhammad Nadir tidak sepatutnya mempertikaikan mengenai misinya ke Gaza termasuk isu membeli barang di Kaherah kerana segala kos itu membabitkan duitnya sendiri dan bukannya hasil sumbangan orang ramai.

Sebaliknya beliau berkata, Muhammad Nadir adalah individu yang sepatutnya menjelaskan kepada orang ramai mengenai hasil sumbangan ke Palestin yang dikatakan mencecah RM20 juta.

“Saya tidak pernah buka tabung bantuan untuk pergi ke Gaza sebaliknya ia adalah duit saya sendiri bersama sumbangan dari sahabat yang rapat.

“Yang kumpul duit ini adalah Nadir, mana duit (sumbangan) RM20 juta. Justeru Muhammad Nadir yang patut menjawab mana duit itu.

“Sedangkan saya sendiri tidak terfikir untuk kutip sumbangan untuk ke Gaza. Saya memang guna duit sendiri bersama sahabat rapat,” katanya.

Ebit menjelaskan, beliau membeli barang di Kaherah berbanding di Gaza kerana banyak barang khususnya membabitkan perubatan tiada dijual di Gaza.

Beliau berkata, kelengkapan perubatan dibeli di Kaherah masing-masing diangkut dengan dua treler dan lori yang sudah memasuki Gaza.

“Mengenai dakwaan Nadir bahawa saya tidak menjawab proposal beliau iaitu harga barang bagi satu kotak yang ingin disumbangkan adalah kerana apa yang ditawarkan Nadir bagi satu kotak berharga AS$40 sedangkan saya boleh dapat barang yang sama pada harga AS$20.

“Selain itu, mengenai tuduhan saya tidak bersalam dengannya adalah kerana saya tidak perasan kerana kepenatan dalam perjalanan selama 21 jam dengan 21 pemeriksaan. Saya juga terkejar-kejar untuk menunaikan solat ketika itu,” katanya.

Ebit turut menafikan kenyataan dibuat artis, Caprice dirinya membeli sijil duta muhibbah dan mencium kaki Menteri Gaza.

Sebaliknya, beliau berkata, sijil itu diberi kepadanya sebagai menghargai usaha beliau membantu penduduk di Gaza.

“Tindakan saya menyekat Caprice di laman sosial juga adalah kerana sikapnya yang negatif termasuk mempertikaikan tindakan saya melawat ayah yang sedang nazak,” katanya.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/842106/ebit-nafi-bayar-ratusan-ribu-dolar-kepada-syarikat-hala

BACA JUGA : Jangan jadi katak, pesan pemimpin Umno kepada Syed Saddiq

COMMENTS

Wordpress (0)