Panas !!! Bekas pegawai kerajaan dedah ‘cara’ Mahathir sekat kebebasan perkhidmatan awam

Mahathir

Bekas pegawai kerajaan dedah ‘cara’ Mahathir sekat kebebasan perkhidmatan awam.Malaysia masih mempunyai perkhidmatan awam yang baik tetapi kegiatan rasuah dilihat semakin meningkat dalam sektor awam sejak beberapa tahun lalu, kata bekas pegawai kanan kerajaan.

Ramon Navaratnam mempertikaikan pandangan bekas diplomat Dennis Ignatious bahawa Dr Mahathir Mohamad menyebabkan perkhidmatan itu menjadi mundur selepas menjadi perdana menteri pada 1981.

Navaratnam menyifatkan pandangan itu sebagai “diperbesarkan” tetapi mengakui bahawa pelbagai dakwaan lain yang dibuat Ignatius dalam bukunya bertajuk “Paradise Lost: Mahathir & The End of Hope”, tidak dapat disembunyikan lagi.

Tiga perdana menteri sebelum Mahathir – Tunku Abdul Rahman, Abdul Razak Hussein dan Hussein Onn – tahu bagaimana untuk menggerakkan perkhidmatan awam dan tidak mencampuri kebebasan dan tindakan penjawat awam serta ruang untuk mereka melaksanakan tugas, kata Navaratnam.

Mahathir tidak mempunyai kualiti itu dan sering meragui tindakan penjawat awam serta kesetiaan mereka selain menganggap “dia lebih tahu berbanding orang lain”

“Sokongan dan sikap hormat rakyat terhadap perkhidmatan awam merosot dan ia terus lemah. Ini kerana Mahathir mahu ia menjadi seperti itu,” kata Navaratnam.

Bagaimanapun katanya, “tidak adil untuk mengatakan ia menjadi mundur” seperti dakwaan Ignatius.

pegawai

“Ia masih perkhidmatan awam yang baik. Pada pendapat kamu, bagaimana kerajaan ditadbir ketika ahli politik sibuk berpolitik?” kata pakar ekonomi yang berkhidmat selama 28 tahun dengan Jabatan Perbendaharaan dan bersara sebagai timbalan ketua setiausaha Kementerian Kewangan.

Beliau juga adalah bekas penasihat kehormat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bekas presiden Transparency International Malaysia.

Katanya, dakwan Ignatius “sebahagian besarnya betul” dalam beberapa perkara lain dan beliau bersetuju bahawa kegiatan rasuah dalam sektor awam semakin berleluasa sejak beberapa tahun lalu.

Navaratnam berkata, saiz perkhidmatan awam yang terlalu besar serta berkembang berdasarkan kuantiti, bukannya kualiti sekali gus menyebabkan sumbangannya kepada produktiviti serta perpaduan negara merosot di bawah pemerintahan Mahathir.

“Penyertaan pelbagai kaum juga semakin kurang berbanding ketika saya masih berkhidmat,” katanya yang menyertai perkhidmatan awam sejak 1959 hingga 1989.

“Beliau menjadikan perkhidmatan awam lebih “kemelayuan dan islamik”. Trend ini berterusan dan sikap hormat terhadap perkhidmatan ini juga merosot kerana tidak ramai bukan Melayu memegang jawatan pegawai kanan.”

Navaratnam berkata, perubahan itu tidak berlaku serta-merta “tetapi kita boleh melihat perubahan secara beransur-ansur” apabila jawatan peringkat paling kanan hingga bawahan dalam perkhidmatan awam tidak mewakili komposisi kepelbagaian kaum di negara ini.

“Perkhidmatan awam tidak berkembang dan perpaduan negara merosot kerana bukan Melayu berasa terpinggir.”

Ignatius menulis bahawa Mahathir tidak bersetuju dengan idea pegawai kerajaan diberi kebebasan dan bersikap neutral dalam melaksanakan tanggungjawab, sebaliknya kesetiaan tidak berbelah bahagi menjadi prasyarat untuk kenaikan pangkat.

Pengganti Mahathir meneruskan dasar seperti itu yang mendorong wujudnya perkhidmatan awam yang korup dan menghakis kecekapan serta profesionalisme penjawat awam, katanya.

Manakala bekas ketua pegawai eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah Johan Ariffin Samad berkata, berdasarkan pemerhatiannya, perkhidmatan awam secara politiknya dipengaruhi berdasarkan banyak aduan mengenai pegawai yang tidak dinaikkan pangkat mengikut kedudukan atau merit tetapi kaitan politik dan hubungan dengan menteri.

Ramai pegawai kanan kerajaan juga terbabit dalam kes-kes rasuah yang menjadi satu perkara yang biasa dilihat ketika ini.

Berdasarkan data dikeluarkan SPRM, 596 pegawai kerajaan ditahan pada 2011, lebih 300 orang direkodkan dalam tahun berikutnya hingga 2016 dan lebih 400 lagi sehingga 2018, 593 pada 2019 dan 531 orang pada tahun lalu.

Johan berkata, isu pembaziran dana awam terus berlaku biarpun terdapat banyak laporan dikeluarkan oleh ketua audit negara.

“Saya pernah bekerja dengan syarikat milik Amerika Syarikat dan sekiranya terdapat kesalahan dikesan dalam laporan audit, mereka akan memantau dan menegur atau mengambil tindakan buang kerja terhadap mereka yang bertanggungjawab jika kesalahan sama dikesan dalam audit selepas itu,” kata Johan.

“Namun di sini, kesalahan itu dilakukan berulang kali. Kegiatan (rasuah) menjadi semakin berleluasa dalam masyarakat kita,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/10/cara-dr-m-sekat-kebebasan-perkhidmatan-awam-kata-bekas-pegawai-kanan-kerajaan/

BACA: Vaksinasi remaja 12 hingga 17 tahun dibuat seiring pembukaan sekolah

COMMENTS