Panas !!! 9 Instafamous promosi judi online

Panas !!! 9 Instafamous promosi judi online

Selepas tular video lagu raya yang mempromosikan kegiatan judi, timbul pula pembabitan selebriti Instagram atau Instafamous yang turut mempromosikan aktiviti haram itu di media sosial.

Harian Metro pada 25 Januari lalu pernah mendedahkan mengenai beberapa Instafamous termasuk pelakon baharu yang secara terbuka merakamkan video mempromosikan judi dalam talian.

Pemerhatian Harian Metro mendapati sekurang-kurang sembilan Instafamous dikesan merakamkan video mempromosikan judi dalam talian di Instagram.

Akaun Instagram sindiket judi dalam talian itu dipercayai aktif sejak tahun lalu yang antara lain menawarkan kasino dalam talian di samping menggunakan foto wanita seksi bagi menarik perhatian tahi judi.

Setakat hari ini, sebanyak 11,724 hantaran sudah dikongsikan akaun Instagram itu termasuk video yang dirakamkan oleh Instafamous bagi mempromosikan judi dalam talian.

Akaun itu turut meraih hampir 1,000 pengikut dan mengikuti 2,100 akaun Instagram lain termasuk beberapa Instafamous yang pernah merakamkan video promosi.

Apa yang diperhatikan, kesemua skrip Instafamous terbabit digunakan berulang kali dengan meyakinkan orang ramai melalui tawaran bonus sehingga 50 peratus kepada pemain baharu.

Antara petikan skrip digunakan Instafamous bagi mempromosikan judi dalam talian itu ialah menawarkan pulangan tunai tanpa had dan boleh diyakini.

Warganet turut berkongsi beberapa foto Instafamous di laman Twitter dan menggesa pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.

Seorang warganet, Nurul Nadiah binti Noor Azlan, 36, berkata pihak berkuasa perlu segera mengenal pasti akaun media sosial seumpama itu yang dilihat secara berleluasa mempromosikan kegiatan haram.

Menurutnya, bukan satu sahaja akaun mempromosikan judi dalam talian, malah mendakwa sekurang-kurangnya lima akaun Instagram dikesan melakukan aktiviti sama.

“Pemilik akaun media sosial seperti Instafamous perlu lebih prihatin dengan apa yang ditawarkan supaya tidak terjerumus ke dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Jangan hanya kerana mengejar wang, buat sesuatu yang jelas menyalahi undang-undang dan menjerat leher sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Januari lalu Harian Metro melaporkan beberapa Instafamous kini dalam radar pihak berkuasa selepas dipercayai terbabit mempromosikan sindiket judi dalam talian dan kasino.

Sindiket dikatakan sanggup berhabis puluhan ribu ringgit bagi mengupah Instafamous untuk mempromosikan kegiatan mereka dan taktik berkenaan digunakan susulan serbuan berterusan pihak berkuasa ke atas premis mereka.

Sumber berkata, sindiket dipercayai membayar RM1,000 hingga RM3,000 bagi satu video mempromosikan kasino dalam talian yang dimuat naik Instafamous berkenaan.

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/04/696200/lagi-instafamous-promosi-judi-online