7 sebab Umno tarik balik sokongan, ‘biadab’ Raja antaranya

7 sebab Umno tarik balik sokongan, ‘biadab’ Raja antaranya . Umno menyenaraikan tujuh sebab kenapa ia menarik balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, dan semua sebab itu berkait “kegagalan” kerajaan.

Presiden Ahmad Zahid Hamidi berkata Muhyiddin gagal memuaskan garis panduan yang ia tetapkan pada 11 Mac 2020 sebagai syarat meneruskan sokongan kepada kerajaan beliau.

Katanya, selepas memperhalusi sama ada Muhyiddin memuaskan garis panduan itu, Majlis Kerja Tertinggi Umno mendapati kerajaan beliau:
  • Gagal menangani pandemik Covid-19 secara berkesan sehingga mencetuskan keresahan dan kemurungan serius rakyat.
  • Menyalahgunakan darurat yang hanya untuk muslihat politik hingga memudaratkan rakyat dan ekonomi.
  • Gagal mempertahankan sistem demokrasi berparlimen hingga memandulkan segala amalan demokrasi semak dan imbang.
  • Gagal menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan untuk semua peringkat dan kategori.
  • Gagal memberikan keyakinan dan kepercayaan kepada rakyat dalam menguruskan kebajikan mereka hingga berlaku peningkatan serius dalam permasalahan sosial seperti kes bunuh diri.
  • Gagal mengurus kestabilan politik dan ekonomi hingga mewujudkan ketidakyakinan pelabur terhadap kemampuan menguruskan negara dan pandemik.
  • Memperkotak-katikkan titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu hingga terpaksa berulang-kali mengeluarkan kenyataan media dan titah menghadap supaya Parlimen dibenarkan
  • bersidang dan membahaskan ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara.
  • Berkenaan sebab akhir itu, Zahid menegaskan Umno, selaku benteng membela institusi Raja-Raja Melayu, tidak boleh berkompromi dengan “sikap biadab kerajaan terhadap institusi raja”.

“Berpandukan tujuh perkara di atas, ternyata kerajaan pimpinan Muhyiddin gagal memenuhi segala garis panduan yang dikemukakan oleh MKT pada 11 Mac 2020, sebagai syarat meneruskan sokongan.” katanya.

‘Rakyat dikurung secara sia-sia’

umno

Memperincikan sebab-sebab tersebut, Umno membidas polisi-polisi yang tidak konsisten, perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang separa masak dan berubah-ubah, “hingga rakyat dikurung secara sia-sia selama hampir 6 bulan tanpa pembelaan yang sewajarnya”.

Katanya, apa yang dikatakan sebagai “total lockdown” menyaksikan jumlah kematian meningkat daripada 2,800 kepada lebih 5,768 korban, dalam tempoh 38 hari selepas pengumuman perdana menteri.

Umno juga tidak berpuas hati kerana darurat disalahgunakan untuk muslihat politik, “sekaligus menafikan suara Umno yang sejak awal membantah keras proklamasi tersebut”.

“Malah ordinan darurat yang kononnya boleh digunakan untuk membantu rakyat, ternyata lebih banyak membebankan dengan pelbagai kompaun bersifat ‘dwi-standard’ dan melampau yang dikenakan ke atas rakyat, dalam keadaan mereka sudah sedia terbeban dengan isu-isu ‘survival’ dan kelangsungan hidup,” kata Zahid.

‘Memandulkan amalan demokrasi’

Sementara itu, Umno berkata kerajaan gagal pertahankan sistem demokrasi berparlimen hingga memandulkan amalan demokrasi semak dan imbang bagi menjamin hak dan suara rakyat terbela.

“…terutamanya dalam memantau segala inisiatif kerajaan dalam menangani pandemik termasuk aspek perbelanjaan, perolehan, dan segala usaha vaksinasi.”

Umno berkata kerajaan juga menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan, termasuk tuntutan moratorium 2.0 tanpa caj atau faedah terakru, dan dasar moratorium yang tidak dipanjangkan kepada agensi-agensi kerajaan seperti Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam.

“Skim i-Citra yang tidak mesra rakyat, bantuan tunai seperti BPR, BPN, dan BKC yang lambat dan amat terhad hingga ramai tercicir dan terpaksa melalui karenah birokrasi yang membebankan,” katanya.

Umno turut menarik perhatian kepada jumlah kes bunuh diri daripada Mac 2020 hingga Mei 2021 iaitu sebanyak 1,099 kes.

Katanya lagi, gerakan #BenderaPutih contoh manifestasi kekecewaan dan bantahan rakyat terhadap kegagalan kerajaan menyantuni keperluan rakyat yang amat susah, tertekan, dan terdesak.

‘Negara di tempat ke-3 paling corot’

Berkenaan keadaan ekonomi, Umno merujuk kepada Indeks Pengendalian Covid yang dikeluarkan media Bloomberg, yang meletakkan negara di tempat ke-3 paling corot antara 53 negara ekonomi utama.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/08/umno-beri-7-sebab-tarik-balik-sokongan-kepada-muhyiddin/

Jika Anda terlepas: Terkini !!! Kerajaan benarkan beberapa kilang lagi beroperasi waktu PKPD

COMMENTS

Wordpress (0)