Panas !!! 32 maut di UK setelah terima suntikan vaksin AstraZeneca

Panas !!! 32 maut di UK setelah terima suntikan vaksin AstraZeneca

United Kingdom (UK) melaporkan 168 penerima suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca mengalami kesan sampingan pembekuan darah termasuk 32 yang maut akibatnya.

Menurut Agensi Kawal Selia Produk Ubat dan Kesihatan (MHRA), mereka yang mengalami pembekuan darah atau ‘thromboembolic event’ meningkat sehingga 14 April lalu, apabila 21.2 juta orang menerima suntikan dos pertama vaksin itu.

“Ia menunjukkan peningkatan sepuluh kematian berbanding tempoh sehingga 5 April dan tambahan 68 kes.

“Berdasarkan tinjauan yang kami jalankan sekarang, nasihat kami kekal bahawa manfaat vaksin ini melebihi risiko dalam kalangan majoriti penerima,” katanya.

Bertindak atas nasihat badan pengawalselia itu, kerajaan UK pada bulan ini bersetuju menawarkan vaksin alternatif selain AstraZeneca kepada penerima berusia bawah 30 tahun, susulan kebimbangan mengenai pembekuan darah.

Daripada 168 kes dalam penemuan terbaru, ‘cerebral venous sinus thrombosis’ (CVST atau pembekuan darah dalam otak) dilaporkan dalam 77 kes dalam kalangan individu berumur purata 47 tahun.

Sebanyak 91 kes lagi, dengan purata usia 55 tahun, menghidap ‘major thromboembolic event’ bersama dengan ‘trombositopenia’ iaitu jumlah platelet rendah.

Secara keseluruhan, kata pensyarah pediatrik dari Universiti Bristol, Prof Adam Finn, seramai 93 wanita dan 75 lelaki menghidap pembekuan darah selepas menerima suntikan vaksin AstraZeneca.

“Saya menjangkakan jumlah sebenar kesan sampingan per juta dos vaksin akan menjadi jelas apabila laporan ini lengkap, tetapi setakat ini ia jelas bahawa simptom darah beku ini sangat jarang berlaku,” katanya.

Britain merekodkan jumlah kematian tertinggi di Eropah akibat wabak pandemik COVID-19.

Sejak negara itu menjalankan program vaksinasi yang bermula dengan dos suntikan vaksin jenis AstraZeneca, kadar jangkitan dan kemasukan ke hospital termasuk kematian menunjukkan penyusutan.

Menurut data berasingan yang dikeluarkan oleh Pejabat Statistik Kebangsaan, COVID-19 bukan lagi punca utama kematian pada Mac lalu.

Berdasarkan data itu, COVID-19 adalah penyebab kematian ketiga terbesar di England pada bulan lalu, jatuh kedudukan dari tempat teratas buat pertama kalinya sejak Oktober tahun lalu.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2021/04/809746/32-maut-di-uk-selepas-terima-suntikan-astrazeneca