14 hari

14 hari selepas kata dua Umno, apa bakal terjadi?

14 hari selepas kata dua Umno, tarik diri dari kerajaan PN hampir pasti. Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi secara diam-diam mendapatkan sokongan daripada majlis tertinggi (MT) parti itu untuk menarik balik sokongan Umno daripada kerajaan Perikatan Nasional, kata beberapa sumber kepada Malaysiakini.

Individu dalam parti itu berkata, Zahid berjaya meyakinkan majoriti daripada 56 ahli majlis tertinggi yang merupakan badan eksekutif parti itu bahawa perpisahan daripada PN perlu dilakukan sekiranya kata dua mereka kepada kerajaan PN tidak diendahkan.

Zahid, menurut ‘orang dalam’ tersebut, malah menerima komitmen bertulis daripada ahli MT yang menyokong, manakala proses mendapatkan komitmen serupa daripada ahli parlimen juga sedang berjalan.

14 hari

Langkah ini dipercayai sebagai usaha untuk menekan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Pada 21 Jun, MT Umno memberi tempoh 14 hari kepada Muhyiddin bagi menggesa persidangan parlimen segera diadakan.

Menurut sumber, Zahid meyakinkan sebahagian besar ahli majlis tertinggi bahawa parti itu terikat oleh perlembagaan parti untuk menyokong Majlis Raja-Raja Melayu dan dengan itu mesti mendesak kerajaan memenuhi titah Yang di-Pertuan Agong agar parlimen bersidang semula “secepatnya mungkin “.

Patuh perlembagaan parti

Beberapa ahli MT Umno yang dihubungi Malaysiakini mengesahkan mereka telah bertemu Zahid baru-baru ini, tetapi enggan mengesahkan sama ada mereka diminta menandatangani dokumen tersebut atau sebaliknya.

“Perbincangan melibatkan tempoh 14 hari yang diberikan parti. Kita perlu beri tekanan kepada kerajaan kerana mereka tidak boleh mengabaikan keputusan Agong untuk membuka semula parlimen,” kata seorang ahli MT yang meminta untuk tidak disebutkan namanya.

Seorang lagi ahli MT berkata, sekiranya Umno tidak bertindak, parti itu akan dilihat secara terbuka “biadab” terhadap Agong.

Bulan lalu, Yang di-Pertuan Agong menitahkan sebanyak dua kali, dalam jangka waktu beberapa minggu, bahawa parlimen mesti bersidang “secepat mungkin”, khususnya untuk membahaskan pengisytiharan darurat dan Ordinan Darurat.

Kerajaan hari ini memberi jaminan bahawa parlimen akan bersidang semula sebelum 1 Ogos, tetapi perkara itu akan dimuktamadkan apabila kabinet bermesyuarat pada Rabu depan (7 Julai).

Sumber berkata, pengumuman ini tidak mungkin mengenepikan rancangan MT Umno dan Zahid untuk memberi kata dua terhadap PN.

“Kami melihatnya sebagai usaha Muhyiddin untuk membeli masa,” kata individu dalam Umno yang rapat dengan Zahid.

“Kenapa 7 Julai? Itu melebihi tempoh 14 hari yang kami beri,” katanya.

Zahid satukan kekuatan

Sementara itu, pelbagai sumber mengesahkan Zahid memenangi undi percaya dalam MT Umno baru-baru ini.

Pada 29 Jun, MT Umno memutuskan untuk menangguhkan pemilihan parti itu selama 18 bulan.

Ini bererti tempoh jawatan Zahid sebagai presiden akan dilanjutkan sehingga 2023.

Menurut pelbagai sumber, sebanyak 52 undi bersetuju pemilihan Umno ditangguhkan, manakala dua lagi menentang dan dua berkecuali.

Terdapat seramai 33 ahli MT yang dipilih semasa pemilihan Umno pada 2018 dan 23 lagi dilantik ke jawatan itu.

Menjelang perhimpunan agung parti itu pada Mac lalu, terdapat banyak laporan bahawa parti itu mengalami keretakan, dengan kem Zahid ingin memutuskan hubungan dengan PN, manakala satu lagi kem enggan berbuat demikian.

Pimpinan dalam parti yang rapat dengan Zahid berkata, ahli parlimen atau menteri kabinet dari Umno yang enggan mengikut ketetapan parti itu minggu hadapan, berkemungkinan akan dipecat.

“Mereka boleh ikut parti, atau dipecat.

“Jika mereka pilih yang kedua, maka pilihan raya berikutnya mereka boleh bertanding di bawah bendera PN. Tidak ada masalah,” kata sumber itu.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/581501

Jika Anda Terlepas: Umno akan ‘bercerai’ dengan PN pada 1 Ogos – Puad

CATEGORIES