Pakej PERMAI kurang bantu rakyat untuk kekal tenang di rumah – Zahid

Pakej PERMAI kurang bantu rakyat untuk kekal tenang di rumah – Zahid

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata pakej bantuan Pelindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam kurang aspirasi membantu rakyat kekal tenang di rumah.

“Bagaimanapun Permai masih kurang aspirasi dalam membantu rakyat supaya kekal tenang di rumah sekali gus mengurangkan kadar jangkitan Covid-19 yang sangat tinggi ketika ini.

“Rakyat bersyukur dengan bantuan tunai, tetapi sebahagian yang diumumkan semalam adalah yang pernah diumumkan sebelum ini – cuma akan dipercepatkan.

“Ini tidak bersifat contingency atau suatu tambahan tunai dalam membantu mereka berhadapan kesukaran PKP 2.0,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk turut membangkitkan isu bakul makanan bernilai RM100 dan bantuan tunai RM300 kepada rakyat.

Dia mempersoalkan berapa lama bantuan sedemikian dapat terus bertahan membantu rakyat dan kekal berada di rumah.

“Sebuah kerajaan tidak boleh minta rakyat ikat perut. Sesebuah kerajaan tidak boleh bersikap kedekut dan tuduh rakyat malas.

“Kerajaan sememangnya patut berbelanja untuk rakyat. Lebih-lebih lagi pada waktu PKP program bakul makanan jauh lebih penting berbanding projek dewan badminton,” katanya.

Walaupun tidak menyebut secara khusus, Ahmad Zahid dipercayai merujuk kepada peruntukan RM35.4 juta yang akan dibelanjakan bagi membina sebuah dewan di kawasan parlimen Muhyiddin di Pagoh.

Menurutnya, dengan kadar jangkitan Covid-19 yang mencatatkan empat angka setiap hari, dia menjangkakan tempoh lebih lama diperlukan untuk mengurangkan kadar jangkitan, jika dibandingkan sewaktu PKP pada Mac tahun lalu. – MK