Pakatan Harapan kini semakin kukuh melangkah bersama

Para penyokong Pakatan Harapan (PH) pastinya menarik nafas lega dengan pendirian gabungan politik itu Isnin lalu. Mereka melihat PH kini kembali bergerak sederap selepas menempuhi fasa ‘goyah’ beberapa minggu lalu.

Kebersamaan yang diterbitkan daripada mesyuarat Majlis Presiden PH itu amat penting dalam memperkemas usaha mendepani Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Apa yang terjadi beberapa minggu sebelum ini hanyalah perbezaan pendapat dan ia tidak menggugat fokus PH untuk mengembalikan mandat rakyat sekali gus meneruskan momentum reformasinya yang dilihat terhenti selepas peristiwa yang disebut-sebut sebagai ‘Langkah Sheraton’.

PH yang digerakkan oleh PKR, Amanah dan DAP kini dilihat lebih rapat, tertumpu dan tersusun dengan komitmen baharunya menjelang sidang Parlimen bermula 13 Julai depan.

Dalam masa sama, harapan yang besar juga diletakkan kepada kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang merupakan rakan strategik PH atau secara kolektifnya, PH Plus.

Pastinya di bawah bendera PH Plus, usaha mengembalikan mandat rakyat serta meneruskan agenda reformasi akan memberi impak yang lebih signifikan. Dalam masa sama, opsyen untuk penyertaan lebih banyak pihak dalam gabungan politik berkenaan perlu sentiasa terbuka.

Ini selaras dengan pendirian Majlis Presiden bahawa semua usaha ke arah pengembalian mandat rakyat perlu dijalankan dan memerlukan sokongan semua pihak.

Dengan semangat baharu ini, berikut adalah lima perkara yang dilihat perlu terus menjadi keutamaan PH ketika ini dalam mempersiapkan diri mendepani pilihan raya umum akan datang:

1. Bawa suara rakyat

Fokus PH dan PH Plus kini adalah untuk menggalas perjuangan rakyat merangkumi soal kehidupan rakyat terutama ketika fasa pasca Covid-19 yang menyaksikan rakyat dibelenggu pelbagai dugaan termasuk kehilangan punca pendapatan dan perniagaan-perniagaan gulung tikar.

Perlu diingatkan, kadar pengangguran di negara ini dilaporkan melonjak kepada lima peratus iaitu seramai 778,800 orang pada April tahun ini. Menerusi Survei Tenaga Buruh (STB), angka tersebut merupakan peningkatan 48.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Angka ini amat membimbangkan. Ia dekat dengan hati rakyat dan perlu ditangani seberapa segera mungkin.

2. Terus dampingi rakyat

Pujian harus diberikan kepada wakil-wakil rakyat PH yang dilihat aktif turun padang sejak bermula tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kita dapat menyaksikan pelbagai program dijalankan oleh mereka dalam usaha mengurangkan beban masyarakat setempat. Dari semasa ke semasa, pelbagai kaedah telah dilaksanakan wakil-wakil rakyat demi matlamat membantu masyarakat.

Usaha ini perlu digandakan. Khidmat bakti kepada rakyat adalah satu keutamaan.

3. Pertingkat komunikasi

PH Plus melibatkan beberapa parti yang berbeza. Pastinya, elemen komunikasi memainkan peranan penting dalam menjamin segala bentuk usaha dan mesej dapat dijalankan serta disampaikan dengan lancar.

Semua gerak kerja antara parti terlibat perlu berjalan dengan sederap bagi memastikan ada persefahaman dalam kalangan parti komponen.

Pastikan unit-unit komunikasi parti masing-masing memainkan peranan dalam menyampaikan sebarang perkembangan atau keputusan melibatkan gabungan.

4. Terus perjuang integriti

Kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 dilihat sebagai satu reaksi rakyat menentang budaya kleptokrasi. Ketika pentadbirannya, PH dilihat terus mengetengahkan pelbagai reformasi institusi ke arah Malaysia yang lebih bersih.

Kesinambungan usaha membanteras rasuah dan membudayakan integriti oleh PH ini perlu diteruskan meskipun bukan lagi memegang tampuk pemerintahan kini. Penerapan nilai integriti dan usaha membantu rakyat perlu menjadi tonggak perjuangan.

Komitmen ini pastinya bukan sahaja membawa kebaikan kepada negara hari ini tetapi juga memanfaatkan generasi seterusnya pada masa depan.

5. Bawa suara anak muda

Ketika pihak tertentu memainkan sentimen perkauman, PH perlu berada selangkah di depan dengan mengangkat suara semua lapisan masyarakat terutama golongan muda. Lebih-lebih lagi apabila golongan muda merupakan pengundi teramai.

Ini kerana masa depan golongan muda adalah masa depan negara. Oleh itu, PH perlu terus mengetengahkan muka-muka segar dalam pilihan raya akan datang. Anak muda mempunyai potensi besar dalam membawa anjakan kepada negara ini.

Sebagai contoh, perbahasan Parlimen Digital yang berlangsung baru-baru ini mempamerkan kematangan dan kepetahan yang terserlah melibatkan golongan muda. Justeru, PH perlu di hadapan dalam meletakkan calon-calon muda selepas ini.

Sebagai kesimpulan, kesinambungan semangat permuafakatan serta persefahaman PH ini perlu diteruskan untuk gabungan itu memenangi pilihan raya umum kelak. Sentiasa utamakan tiga elemen ini — Persefahaman, keikhlasan dan komitmen.

Ketiga-tiga elemen ini dapat menjamin survival PH pada hari ini dan masa depan.

Berita penuh:

https://malaysiadateline.com/ph-kini-bergerak-sederap/