Pakar beri amaran, jangan keluar duit KWSP jika tidak perlu

Pakar memberi amaran kepada orang ramai agar tidak mengeluarkan wang mereka daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui skim i-Sinar walaupun semua syarat pengeluaran sudah ditarik.

Perancang kewangan Robert Foo dari MyFP berkata, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mempunyai rancangan kewangan paling asas sekalipun dan dengan itu lebih baik tidak mengeluarkan simpanan KWSP mereka.

“Ya, sekarang dengan i-Sinar, anda boleh keluarkan (wang). Tetapi persoalannya: adakah anda mengeluarkannya? ”

Beliau mencadangkan agar orang ramai hanya mengeluarkan wang jika mereka mahu membuat pelaburan, tetapi bukan untuk membelanjakannya.

Beliau berkata, adalah lebih baik jika pencarum bercakap dengan penasihat kewangan yang akan melihat kunci kira-kira mereka dan memberi nasihat yang tepat.

Katanya, adalah penting untuk mempunyai wang yang cukup sepanjang tempoh persaraan.

Sementara itu, ahli ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Geoffrey Williams berkata, dengan keputusan KWSP menarik balik semua syarat pengeluaran untuk Akaun 1, mungkin berlaku peningkatan signifikan dalam kegagalan pembayaran balik pinjaman peribadi dan memperburuk masalah sosial kerana tekanan hutang.

Katanya, mungkin juga berlaku pertambahan dalam bilangan pemberi hutang tidak sah.

Beliau berkata, kajian yang dijalankan oleh UCSI Poll Research Center baru-baru ini mendapati banyak ahli KWSP berusia 26 hingga 55 tahun dalam kumpulan pendapatan B40 dan M40 menggunakan pengeluaran mereka untuk membayar balik pinjaman.

Katanya, ini menunjukkan kumpulan berkenaan mempunyai masalah hutang yang mendesak.

“Hanya 48.6% responden menggunakan wang itu untuk makanan dan barang dapur,” katanya, selain menambah bahawa ia membimbangkan kerana mereka mungkin akhirnya menggunakan kad kredit untuk makanan dan barang dapur pada masa depan.

“Mereka tidak lagi akan mempunyai simpanan KWSP untuk melunaskan hutang (kad kredit) ini.”

“Tahun lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, 42% pencarum KWSP mempunyai kurang daripada RM5,000 dalam Akaun 1 mereka, dengan 32% daripada kumpulan itu memiliki RM1,000 atau kurang.

“Menurut data KWSP, 65% pencarum di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000. Kira-kira 60% pesara menggunakan semua simpanan mereka dalam masa tiga tahun setelah bersara. ”

Beliau berkata, kemungkinan besar kebanyakan pemegang akaun B40 dan M40 sudah pun menghabiskan simpanan mereka.

“Peluasan skop ini hanya akan menjadikan keadaan lebih buruk dan lebih banyak orang tidak mempunyai simpanan persaraan.

“Mereka memerlukan pemberian tunai langsung dan tidak boleh diminta menghabiskan simpanan mereka yang sedikit itu,” katanya.

Kerajaan menghapuskan syarat pengeluaran untuk skim i-Sinar di bawah KWSP, yang membolehkan ahli dengan baki simpanan kurang RM100,000 membuat pengeluaran sehingga RM10,000.

Bagaimanapun, pengeluaran akan dibayar secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/18/hati-hati-kesan-buruk-pengeluaran-tanpa-syarat-simpanan-kwsp/