Setiap individu pastinya memiliki impian untuk memiliki rumah sendiri. Namun, dengan harga rumah yang mencecah ratusan ribu ringgit
Dan deposit yang tinggi ditetapkan oleh pemaju, ramai yang akhirnya memilih untuk terus menyewa sepanjang hayat.
Membeli rumah subsale atau melalui lelongan juga bukanlah perkara mudah kerana kos guaman dan deposit yang perlu dikeluarkan cukup membebankan.
Walaupun tiada yang salah dalam memilih untuk terus menyewa, ia tetap mempunyai beberapa risiko,
antaranya kemungkinan untuk dihalau atau diminta pindah oleh tuan rumah.
Proses membeli rumah memang memerlukan kos yang tinggi, dan ini boleh menjadi satu cabaran kepada segelintir individu.
Kisah seorang lelaki berusia 53 tahun yang baru-baru ini terpaksa berpindah dari rumah sewa yang telah didudukinya selama 15 tahun, tular di laman sosial setelah diceritakan oleh seorang wanita. Wanita itu memberitahu bahawa jiran yang dimaksudkan terpaksa keluar kerana tuan rumah mahu menjual rumah tersebut dan pemilik baharu tidak mahu menyewakan rumah itu lagi.
“Jiran aku umur 53 tahun kena pindah sebab tuan rumah nak jual dan pemilik baharu tak mahu bagi sewa. Jiran aku tu dah duduk 15 tahun kat rumah tu,” kata wanita tersebut.
Wanita ini turut meluahkan rasa simpati terhadap jirannya yang terpaksa berpindah pada usia yang agak lanjut. Menurutnya, proses berpindah rumah pada usia 50-an adalah sesuatu yang sukar.
“Bayangkanlah umur 53 tahun kena bersusah payah pindah rumah. Aku yang dah 30 ni pun malas nak pindahkan almari baju, dapur,” katanya.
Tambahnya lagi, pihak tuan rumah ada menawarkan untuk menjual rumah tersebut, namun jiran tersebut tidak mampu untuk membeli kerana kekangan kewangan.
Wanita ini mengingatkan golongan muda supaya berusaha membeli rumah sendiri agar tidak terbeban apabila tiba masa tua.
Di ruangan komen, ramai warga maya yang meluahkan rasa simpati terhadap nasib jiran wanita tersebut. Mereka juga menjadikan kisah tersebut sebagai iktibar, terutama bagi mereka yang masih menyewa rumah dan mempunyai masalah kewangan untuk membeli rumah.
“Ramai je macam ni, kerja sampai dah pencen dan masih menyewa rumah. Alasannya tak ada duit nak bayar pinjaman rumah sedangkan mampu bayar sewa rumah,” kata seorang netizen.
Netizen lain pula berkata, “Masalahnya kalau dah 60 hingga 80 tahun, larat lagi ke nak bayar sewa rumah?”
Seorang pengguna lain berkongsi pengalaman, “Saya hari tu terpaksa ambil balik rumah sebab penyewa tak jaga rumah elok-elok. Dah 20 tahun duduk tapi rumah hancur, yang ayah tak tergamak nak ambil jadi anak-anaklah mainkan peranan dengan bagi notis empat bulan.”
Komen-komen ini menunjukkan bahawa banyak individu bimbang dengan masa depan mereka apabila hanya bergantung kepada sewa rumah tanpa memiliki aset sendiri.
BACA: Rupanya ini sebab kenapa tayar pada lori ada yang terangkat, bukan saja-saja angkat