Ordinan Darurat batal, Menteri Kesihatan boleh guna Akta 342.Menteri Kesihatan mempunyai kuasa mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) untuk mengeluarkan perintah berkaitan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit di negara ini.
Peguam bela dan peguam cara, Datuk Salehuddin Saidin, berkata ia berikutan Menteri pernah sebelum ini mengeluarkan perintah dan mengisytiharkan kawasan jangkitan di Malaysia.
Justeru, beliau berkata, apabila perintah itu serta Ordinan Darurat luput, Menteri boleh menggunakan kuasanya dalam peruntukan Akta 342 untuk melanjutkan tarikh penguatkuasaan seperti yang dilihat pada Warta Kerajaan Persekutuan terkini bertarikh 22 Julai lalu.
“Dalam warta berkenaan, ia hanya menyebut mengenai kawasan tempat jangkitan. Apabila Ordinan Darurat dimansuhkan, Menteri boleh berpatah balik kepada Akta 342 dan mengeluarkan perintah baharu dan ia diwartakan tanpa perlu membawanya ke Parlimen.
“Seksyen 31 dalam Akta 342 memberi kuasa kepada Menteri (Kesihatan),” katanya kepada BH, hari ini.
Seksyen 31 (1) Akta 342 antara lain menyebut Menteri boleh membuat peraturan-peraturan, bagi keseluruhan atau mana-mana bahagian Malaysia, termasuk lapangan terbang, pelabuhan, perairan pantai dan sempadan daratnya, bagi melaksanakan peruntukan Akta itu.
Ditanya mengenai jumlah kompaun untuk kesalahan dalam Akta 342 yang sebelum ini dinaikkan ketika Proklamasi Darurat berkuatkuasa, Salehuddin berkata, Menteri mungkin boleh melihat semula jumlah kompun yang dikenakan, mengikut kuasa yang ada padanya sebelum mengeluarkan perintah dan mewartakannya.
Pada 22 Julai lalu, laman sesawang Pejabat Peguam Negara memuatnaik satu Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 21 Julai 2021 atas nama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba, yang melanjutkan penguatkuasaan Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No. 2) 2021.
Ia adalah satu perlanjutan daripada perintah asal bertarikh 16 Mac 2020 dan diwartakan pada 17 Mac 2020, iaitu Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan tempatan Jangkitan) 2020, membabitkan pengisytiharan kawasan berlakunya penularan wabak COVID-19
Dalam perintah asal, ia menyebut, Menteri, selepas berpuas hati bahawa semua negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia diancam oleh wabak penyakit berjangkit, iaitu COVID-19, suatu jangkitan mikrobial yang mengancam nyawa sebagaimana yang dinyatakan dalam Bahagian 1 Jadual Pertama kepada Akta, mengisytiharkan Negeri dan Wilayah Persekutuan yang dinyatakan dalam Jadual sebagai kawasan tempatan jangkitan.
Warta berkenaan kemudian memperincikan setiap negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia.
Semalam, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan tempoh Proklamasi Darurat, yang tamat pada 1 Ogos ini.
Kerajaan turut membatalkan enam ordinan yang dibuat semasa Proklamasi Darurat, berkuat kuasa 21 Julai lalu.
Berita Penuh :https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/07/844120/menteri-kesihatan-boleh-guna-akta-342