Nyahwarta hutan simpan : Kerajaan negeri jangan angkuh, tegur adun Amanah

Nyahwarta hutan simpan : Kerajaan negeri jangan angkuh, tegur adun Amanah

Adun Hulu Kelang Saari Sungib mengingatkan kerajaan Selangor supaya tidak angkuh dan memaksa dasar negeri secara kuku besi, khususnya dalam cadangan menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).

Dia berkata demikian mengambil kira dakwaan NGO bahawa tindakan itu melanggar hak asasi manusia dan mengancam biodiversiti tempatan.

“Jika dua dakwaan tersebut betul, perkara yang bakal berlaku adalah lebih dahsyat dan parah!” katanya.

“Ia melibatkan pemaksaan dasar kuasa kuku besi dan sikap angkuh tidak mahu mendengar pandangan pakar dalam bidang-bidang yang mengekalkan kestabilan politik dan pentadbiran negeri.”

Wanita Orang Asli dalam hutan Kuala Langat, gambar hiasan
Mempersoalkan mesyuarat exco yang dikatakan akan membincangkan keputusan menyahwartakan HSKLU hari ini, Saari berkata sebarang keputusan perlulah terikat dengan sistem semak imbang.

“Sebagai ahli Dewan Negeri Selangor, saya telah meminta penjelasan dari MB dan exco infrastruktur dan pertanian.

“Saya percaya dasar-dasar demokrasi masih dipertahankan dalam proses membuat keputusan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 5 Februari tahun lalu, Jabatan Perhutanan Selangor mengiklankan beberapa surat khabar berkaitan rancangan untuk menyah warta hutan simpan itu untuk memberi laluan kepada projek pembangunan campuran.

Terdapat cadangan menyahwartakan 931.17 hektar daripada 957.63 hektar keluasan HSKLU dikemukakan kerajaan negeri Selangor awal Februari 2020.

Untuk rekod, HSKLU merupakan tempat tinggal generasi Orang Asli dari suku Temuan, dengan jumlah penduduk sekitar 2,000 pada masa ini.

“Sifat eksekutif kerajaan Selangor adalah sedia wujud untuk semak imbang dan mempunyai cukup maklumat dan kemahiran untuk membuat satu keputusan.

“Dalam konteks yang lebih luas semak imbang dan kemahiran dalam pelbagai bidang juga diwujudkan melalui Dewan Negeri Selangor yang bersidang.

“Terkini tentang lulusnya usul agar tidak dinyahwartakan HSKLU,” kata Saari.

Berita Penuh :https://www.malaysiakini.com/news/571551