Nilai semula lantikan politik dalam GLC termasuk TH – Pejuang

Nilai semula lantikan politik dalam GLC termasuk TH . Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mendesak supaya kerajaan menilai semula lantikan politik dalam semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk Lembaga Tabung Haji (LTH).

Ketua Biro Ekonomi Pusatnya, Armin Baniaz Pahamin berkata, lantikan politik demi meraih sokongan ahli Parlimen merupakan satu bentuk rasuah yang jelas dan menjadi punca utama kepada permasalahan dalam institusi kewangan Islam itu.

“Masalah sebenar LTH adalah berkaitan lantikan dan campur tangan politik, bukan pada masalah model operasi yang perlu dinilai semula.

“Risiko terbesar LTH terletak pada lantikan pengerusi, ahli lembaga pengarah dan barisan pengurusan tertinggi yang dilihat berbaur campur tangan politik.

lantikan

“Bukan LTH sahaja yang menjadi mangsa lantikan politik, malah institusi seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan lain-lain juga terkesan hasil amalan korupsi sebegini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, model operasi LTH adalah berbeza operasi sebuah bank yang mengambil keuntungan daripada faedah pinjaman, begitu juga syarikat insurans yang mengaut keuntungan apabila tiada tuntutan dibuat oleh pelanggan.

“LTH juga berbeza daripada bank dan syarikat insurans kerana LTH tidak mempunyai pemegang saham dan operasi sepenuhnya daripada dana pendeposit,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Pejuang juga turut menolak penyenaraian LTH sebagai sebuah institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 yang dikawal selia Bank Negara Malaysia (BNM).

“Menteri Kewangan sepatutnya menunggu keputusan keputusan dan hasil siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebelum membuat apa-apa keputusan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, Pejuang menyokong penuh penubuhan RCI LTH dan menggesa skopnya diperluaskan hingga tahun 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu lepas mengumumkan kerajaan akan menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH, hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers, Ernst & Young dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Ismail Sabri berkata, antara terma RCI yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri adalah skop RCI yang akan tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit TH dari 2014 hingga 2020, tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/151040/BERITA/Nasional/Nilai-semula-lantikan-politik-dalam-Lembaga-Tabung-Haji

jika terlepas: Mokhtar Senik pertahan Hadi guna binatang sebagai perumpamaan