Negeri sudah masuk fasa 2 tak akan kembali fasa 1 walau kes tinggi – Menteri. Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata negeri yang telah beralih ke Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam PPN tidak akan berpatah balik ke Fasa Satu walaupun kes baharu Covid-19 yang dicatatkan adalah tinggi.
Beliau berkata adalah tidak mampan bagi negara untuk ‘buka dan tutup’ sesebuah negeri dan PPN adalah pelan perancangan khusus bagi membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan normal.
“Sekiranya angka jangkitan Covid-19 di negeri yang telah beralih fasa adalah tinggi, hanya lokasi atau kawasan tertentu akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan bukannya seluruh negeri.
“Kalau kita beransur pulih dari Fasa Satu PPN ke Fasa Dua sebagai contoh, kita tak boleh balik ke Fasa Satu dan kembali ke Fasa Dua.
“Sebaik sahaja beralih ke Fasa Dua, kalau ada kes (Covid-19) di kawasan atau lokasi tertentu, ia akan ditutup atau (dikenakan) PKPD, bukan lagi seluruh negeri,“ katanya hari ini.
Lapan negeri telah beralih ke Fasa Dua PPN setakat ini iaitu Perlis, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, kebanyakan negeri itu hari ini merekodkan peningkatan kes harian dalam tempoh 24 jam, khususnya di Pahang, Terengganu, Kelantan dan Sabah.
Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, Pahang mencatatkan 400 kes berbanding 321 semalam, Terengganu sebanyak 189 kes (93 semalam), Kelantan dengan 236 kes (211 semalam) dan Sabah 286 kes (239 semalam).
Mengulas lanjur Tengku Zafrul berkata prosedur operasi standard (SOP) di kawasan PKPD perlu dipertingkatkan kerana terdapat juga kilang dalam kategori ‘essential’ yang dibuka.
“Contohnya, ujian saringan Covid-19 perlu dibuat sekurang-kurangnya dua kali seminggu. Yang penting, kita kena kurangkan kes di kawasan PKPD yang menyumbang kepada jumlah keseluruhan kes Covid-19 dalam negara,” katanya.
Sementara itu Tengku Zafrul berkata beliau mengadakan sesi libat urus berkenaan PPN dengan beberapa parti politik dan pihak berkepentingan pada minggu ini dan akan meneruskan sesi berkenaan dalam masa terdekat.
Katanya sesi libat urus berkenaan amat produktif dan pelbagai input diterima khususnya berkaitan aspek kesihatan dan bantuan untuk mereka yang terjejas di kawasan PKPD.
Beliau berkata, perbincangan mengenai PPN telah diadakan dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), UMNO, PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Amanah Negara (AMANAH), PKR, DAP, Bersatu, MCA dan MIC.
Berita penuh : https://www.agendadaily.com/isu-semasa/negeri-fasa-dua-tak-patah-balik-ke-fasa-satu-walaupun-kes-tinggi/
BACA JUGA : ‘Raja Brunei pelopor penggunaan vaksin ketuhanan’