Nampaknya ada yang tidak senang dengan keuntungan Tabung Haji – Ali Muda

Kalau sudah, kenapa tak berhenti membuat bising di media sosial? Nampaknya yang tak senang hati dan tak sudah-sudah ialah Dr. Asydaf Wajdi (DAW) sendiri.

Saya sudah tiada apa-apa kaitan perkhidmatan dengan mantan Menteri Hal Ehwal Agama YB DS Dr Mujahid Yusof, namun saya adalah seorang muslim yang sedar akan kewajipan menjadi saksi atas kebenaran. Menyembunyikan persaksian adalah berdosa.

Oleh kerana Ketua Pemuda Umno DAW masih nak bermain politik untuk menjatuhkan imej mantan Menteri Hal Ehwal Agama dan kerajaan yang lepas, walaupun Tabung Haji (TH) telah membuktikan kejayaan dan kesan positif langkah yang diambil kerajaan PH, berbanding rekod teruk yang ditinggalkan oleh beliau sendiri sebagai mantan Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, maka saya rasa dipanggil untuk menjelaskan.

Nampaknya DAW tak senang hati dengan berita keuntungan TH. Adakah dia berharap TH akan terus rugi demi memuaskan dendam politiknya? Begitukah sikap pemimpin pembela anak bangsa kononnya? Mungkin juga DAW dan pasukannya agak tertekan dengan perkembangan positif TH kerana ia tak selari dengan kempen pemburukan imej YB DS Dr. Mujahid Yusof melalui isu pemulihan TH.

Ketika DAW menjadi Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama, TH memang mengalami defisit yang teruk. Dia sendiri mengakui TH mengalami defisit. Katanya, “..defisit Tabung Haji setakat 31 Disember 2017 hanyalah RM4.1 bilion”. Apa ni..? Hanyalah RM4.1bilion? Hanyalah dia kata?

Itu setakat 31 Disember 2017. Bolehkah DAW nyatakan defisit sehingga sebelum pertukaran Kerajaan pada 9 Mei 2018? Adakah defisit itu kekal RM4.1 bilion?

Betul defisit membesar kepada RM10.9 bilion pada 31 Disember 2018 selepas 7 bulan PH mengambil kerajaan. Apa sebabnya? Sudah tentu sebab kehilangan kepercayaan pelabur pada aset2 yang dibeli TH oleh pengurusan lama di bawah kepimpinan DS Jamil Khir dan DAW sendiri!

Hujung 2018 baru PH bergerak memulihkan kedudukan kewangan dan aset TH dengan rombakan pengurusan tertinggi lama yang bersubahat meluluskan ‘creative accounting’ untuk mengaburi mata para pendeposit kononnya TH tidak mengalami defisit. Caranya ialah dengan mengekalkan nilai aset pada harga semasa ia dibeli dulu, bukan harga semasa. Tindakan itu dibuat untuk membolehkan TH terus membayar hibah kepada pendeposit, kerana jika aset dibuat impairment dengan nilai semasa sudah tentu TH mengalami defisit dan tidak boleh membayar hibah berlandaskan Akta TH. Laporan financial review Price Waterhouse Coopers (PWC) telah jelas menunjukan nilai defisit berlaku sejak tahun 2014 lagi. BNM juga telah menghantar surat teguran kepada TH terhadap isu ini pada tahun 2015 namun telah tidak diendahkan.

Apabila PH mengambil alih kerajaan dan memulakan langkah pemulihan, antaranya dengan memindahkan aset yang mengalami kejatuhan nilai dan kurang berdaya saing kepada SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd, milik penuh Kerajaan, maka nilai aset TH melebihi liabiliti sebanyak RM1 bilion lebih, lantas TH mampu membayar hibah sebanyak 1.25% untuk tahun 2018. Dengan meningkatkan nilai aset untuk tahun 2019, hibah meningkat lagi kepada 3.05%.

Untuk tahun 2020, setakat enam bulan pertama TH telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Harap-harap jangan ada lagi gangguan terhadap pengurusan tertinggi TH dengan menukarkan mereka sesuka hati demi memuaskan nafsu politik pihak tertentu. Mereka telah dan sedang melakukan yang terbaik demi kepentingan para pendeposit. Bersihkan TH dan institusi rakyat seluruhnya daripada anasir kepartian yang berkiblatkan tuan politiknya. Jangan benarkan TH ditunggang lagi untuk berhutang membeli aset di atas harga pasaran untuk mengenyangkan golongan tertentu.

Jika DAW mempersoalkan di mana laporan audit bagi tahun 2018 dan 2019, pihak TH sudah tentu mempunyai jawapan. Saya tidak fikir pihak TH masih mematuhi arahan mantan Menteri Agama YB DS Dr Mujahid supaya tidak mengeluarkannya.

Demikian juga desakan supaya menubuhkan RCI. DAW yang mewakili Pergerakan Pemuda Umno seolah-olah masih bermimpi TH berada di bawah kuasa Dr Mujahid atau PH. Itu desakan yang agak kelakar. Sepatutnya Ketua Pemuda Umno itu mendesak kerajaan sekarang menubuhkan RCI.

Ayat terakhir DAW, “Institusi umat Islam ini sepatutnya dipelihara dan tidak dijadikan bidak catur bagi keuntungan politik sesetengah pihak” itu umpama ayat burung kakak tua yang hanya tahu menuturkan tetapi ia sendiri tidak tahu apa maknanya.

Rekod DAW dalam perkhidmatan sebagai Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama dalam menjaga TH tidaklah secantik resume pengkhususan akademik yang DAW miliki. DAW mungkin hebat di dunia akademik khususnya teori kewangan Islam, namun bila menceburi bidang politik, DAW kecundang dan tertewas oleh angin busuk politik.

Rakyat marhaen pendeposit TH.

Sumber: