Nama ‘Malaysia’ diabadikan sebagai nama jalan di Gaza

Sumbangan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin akhirnya diabadikan dan dijadikan ‘sebahagian’ daripada negara Asia Barat itu.

Sejak merintis pelbagai usaha perdamaian, desakan di peringkat antarabangsa, misi kemanusiaan dan solidariti, Palestin kini menzahirkan penghargaan dengan menamakan sebatang jalan berhampiran kota Gaza sebagai ‘Malaysia Street’,

Pengerusi Persatuan Kebudayaan Palestin-Malaysia (PCOM), Muslim Imran, berkata pembinaan papan tanda yang tertera ‘Malaysia Street’ di laluan masuk itu diluluskan Majlis Perbandaran Gaza.

Nama 'Malaysia' diabadikan sebagai nama jalan di Gaza

“Majlis Perbandaran Gaza menamakan sebatang jalan di daerah barat Gaza sebagai ‘Malaysia Street’, bersempena Hari Kemerdekaan Malaysia, hari ini.

“Lokasi (jalan ini ialah) berdepan Bulatan Ansar, barat kota Gaza,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Sambil memuat naik gambar yang menyaksikan tiga lelaki sedang giat melakukan kerja pembinaan, papan tanda berwarna itu antara lain tertera penjelasan di sebalik keputusan nama jalan terbabit.

Menurut terjemahan bahasa Arab pada papan tanda itu, Malaysia mempunyai peranan penting dalam membantu perjuangan rakyat Palestin, dengan berterusan mendesak supaya menghentikan penjajahan Israel dan memperuntukkan semua hak sewajarnya kepada rakyat Palestin.

Malaysia sebagai negara yang bebas daripada belenggu penjajah British pada 31 Ogos 1957 juga menolak sebarang bentuk normalisasi menerusi tindakan penjajahan yang didalangi Israel.

Berita Penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/858244/malaysia-street-di-gaza

BACA JUGA : Lafaz taklik jika ambil vaksin, itu kena tanya mufti – Menteri Agama