Nadir dan Caprice dilapor tak balas panggilan polis

Nadir dan Caprice dilapor tak balas panggilan polis.Polis te­lah memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk berhubung dengan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan penyanyi rap yang juga aktivis kemanusiaan, Caprice.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, setakat ini, pihaknya masih belum me­nerima tarikh untuk mengambil keterangan Nadir Al-Nuri dan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli.

“Kita telah cuba berhubung dengan kedua-dua individu ini bagi menentukan tarikh dan masa yang sesuai untuk diambil keterangan dalam talian, namun tidak dibalas.

“Kita telah memohon bantuan Interpol dan sedang menunggu jawapan daripada pihak Interpol bagi sebarang perkembangan terbaharu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Katanya, semua proses telah dibuat, hanya tunggu untuk ambil kete­rangan kedua-dua individu ter­babit.

“Kita harap mereka memberi kerjasama dan memberi maklum balas secepat mungkin,” jelasnya.

 

Kosmo! pada 10 Ogos lalu me­laporkan polis sedang berhubung dengan Caprice dan Muhammad Nadir Al-Nuri untuk menetapkan tarikh diambil keterangan.

Ashari memberitahu, tindakan tersebut dilakukan berhubung laporan yang dilakukan pendakwah terkenal, Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 21 Julai lalu.

Difahamkan, tindakan dan arahan lain berkaitan kes itu sudah diambil termasuk laporan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia membabitkan kenyataan di media sosial.

Dalam pada itu Caprice dalam Instagramnya mengalu-alukan pihak polis menghubunginya.

Berita berkaitan: Tidak kenal Syarikat Hala, masuk Gaza melalui bantuan Kedutaan

“Orang kata, ada pihak cari kita? Amman to Ramallah. Siapa-siapa tengah cari, polis ke, Interpol ke, mak mertua ke, Zizan untuk ‘keychain’ Firaun ke, boleh WhatsApp saya.

“Nombor (telefon) ada di ‘bio’ Instagram,” tulisnya.

Pada Julai lalu Ebit Lew membuat laporan polis serta me­ngadakan sidang akhbar menafikan dakwaan Nadir dan Caprice berhubung isu bayaran wang kepada pihak ter­tentu untuk memasuki Gaza.

Kes disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 kanun yang sama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Berita Penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/08/21/nadir-caprice-tak-balas-panggilan-polis/

BACA: Gangguan seksual : Mangsa lain diminta tampil

CATEGORIES

COMMENTS

Wordpress (0)