My30 sudah jadi My50, pas perjalanan tanpa had naik harga RM20 – Menteri

Bermula 1 Jan depan, penggunaan pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan, My50 bagi perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan dikuatkuasa di Lembah Klang.

Memetik laporan Malysiakini, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata pas perjalanan tanpa had My30, yang diperkenalkan kerajaan di bawah skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jun 2020 akan digantikan dengan My50 yang terbuka eksklusif untuk warga Malaysia.

Wee Ka Siong dalam sidang media mengenai pas perjalanan tanpa had My50 itu di Kuala Lumpur hari ini berkata, “Tempoh promosi untuk My30 berakhir pada 31 Dis 2021, dan ia akan diganti dengan pas perjalanan RM50 sebulan, yang diumum oleh Menteri Kewangan dalam Bajet 2022 di Dewan Rakyat pada 29 Okt lepas.

My30 sudah jadi My50, pas perjalanan tanpa had naik harga RM20 - Menteri

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Dengan pengenalan pas perjalanan My50 ini dan dengan perkembangan baik berterusan Pelan Pemulihan Negara (PPN), pihak kementerian dan Prasarana yakin 2022 akan menyaksikan peningkatan dalam jumlah penumpang menggunakan perkhidmatan kendalian Prasarana.”

Katanya, pengenalan pas perjalanan My50 adalah bukti kerajaan amat prihatin dengan kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya dalam keadaan mencabar sekarang.

Menurutnya lagi, purata jumlah penumpang harian yang dikendalikan Prasarana adalah 462,246 orang sepanjang tahun 2021.

“Sebelum penularan wabak Covid-19, Prasarana pernah mengendalikan hingga 1.1 juta penumpang sehari pada 2019.

“Dengan keupayaan dan kapisiti yang dimiliknya, Prasarana mampu meningkatkan frekuensi tren dan bas kendaliannya andainya permintaan meningkat, sambil memastikan penumpang terus menikmati perjalanan yang selesa, lancar dan selamat.”

Kerajaan telah memperuntukkan RM115 juta bagi pembayaran subsidi untuk menampung kos yang perlu ditanggung Prasarana dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berkelas dunia.

Mengulas lanjut, Wee berkata “Biasanya untuk pas bulanan, nilainya adalah RM200. Apabila kita beri satu pas perjalanan tanpa had dengan subsidi, bermaksud RM50 rakyat bayar, RM150 akan dibayar kerajaan.”

Kemudahan pas perjalanan My50 turut disediakan di Pulau Pinang untuk penggunaan tanpa had perkhidmatan bas Rapid Penang di bawah label Pas Mutiara.

Katanya walaupun pas perjalanan My30 berakhir pada 31 Dis ini, pengguna yang membeli pas perjalanan berkenaan dan Pas Mutiara sebelum ini boleh terus menikmati kemudahan itu hingga 30 Jan 2022 sebelum beralih kepada pas My50.

BACA JUGA : Ini kisah sebenar ‘Abang Viva’, kereta pinjam dan enjin bot kawan punya
Selepas diarahkan barulah menteri kabinet balik dari bercuti di luar negara

Artikel ini disiarkan pada 27/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)