Mungkin seminggu mahu bersihkan sisa tragedi Gunung Jerai

Seminggu

Mungkin seminggu mahu bersihkan sisa tragedi Gunung Jerai.Seminggu selepas banjir akibat tragedi kepala air di Gunung Jerai, keadaan di beberapa buah kampung di kaki gunung itu yang menjadi laluan air tidak banyak berubah berbanding selepas kejadian itu Rabu minggu lalu.

Timbunan kayu, kesan runtuhan rumah penduduk dan keadaan infrastruktur yang rosak termasuk jambatan runtuh masih jelas dapat dilihat walaupun penduduk sudah lebih se­minggu membersihkan rumah masing-masing.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati penduduk giat membersihkan kediaman masing-ma­sing yang melibatkan lebih 800 rumah di Yan dan 200 rumah di Tupah serta mengakibatkan enam nyawa terkorban.

PENDUDUK memilih pakaian yang didermakan oleh individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai bantuan bagi meringankan beban mangsa yang terlibat dalam kejadian tragedi kepala air dan banjir di Yan.

Penduduk di beberapa buah kampung seperti Kampung Seberang Pekan Yan dan Kampung Yan Besar mengeluh keletihan untuk membersihkan lumpur yang mencecah melebihi paras lutut dan timbunan kayu yang ditinggalkan arus air dalam kejadian itu.

Seminggu

Seorang penduduk di Kampung Yan, Jamiah Hamid, 59, berkata, dia bersama lima ahli keluarganya mula membersihkan lumpur sejak Khamis lalu.

“Sudah masuk hari ketujuh, namun masih ada kesan lumpur kerana lumpur naik hampir paras lutut di dalam rumah,’’ katanya yang memberitahu dia sekeluarga menumpang tidur di rumah saudara yang tidak terjejas.

Seorang penduduk di Kampung Yan Besar, Rokiah Darus, 68, berkata, dia meminta anak-anaknya yang berada di luar daerah untuk membantu membersihkan rumah.

“Hanya saya dan suami tinggal di sini dan kami tidak larat membersihkan lumpur di dalam rumah. Mungkin seminggu lagi baru siap bersihkan,’’ katanya.

Seorang lagi penduduk di Kampung Seberang Pekan Yan, Suriati Abd. Aziz, 56, berkata, dia bersyukur kerana ada pihak dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang sudi membantunya membersih halaman rumahnya.

“Memandangkan saya hanya tinggal berseorangan, jadi saya perlukan bantuan orang luar untuk bersihkan halaman saya yang dipenuhi lumpur,” ujarnya.

Dalam pada itu, Jabatan Amal Malaysia seliaan Pas turut membantu membersihkan beberapa buah kawasan terutama tempat peranginan yang terjejas seperti Salak Denai, Alang Kenari dan Puteri Ayu.

SUKARELAWAN dari Jabatan Amal Malaysia Pas memotong timbunan kayu dan pokok bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan kawasan berhampiran Chalet Salak Denai, Yan, semalam.
Wakil jurucakap jabatan, Mohd. Azhar Mad. Yusuf berkata, seramai 40 orang ahli dari beberapa buah negeri seperti Pahang, Kedah dan Terengganu turut serta melakukan pembersihan sejak Khamis lalu.

“Operasi pembersihan kami akan lanjutkan sehingga dapat bersihkan sekurang-kurangnya 80 peratus di kawasan-kawasan terlibat,” jelasnya.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/berita/2021/08/mungkin-seminggu-lagi-baru-siap/

BACA: Ini 6 kerusi panas yang jadi tumpuan dalam kabinet Ismail Sabri

Artikel ini disiarkan pada 26/08/2021

COMMENTS

Wordpress (0)