Muktamad !!! BN akan bertanding sendirian PRU-15

Muktamad !!! BN akan bertanding sendirian PRU-15

Umno mengesahkan akan bertanding secara bersendirian menggunakan logo Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan BN mesti menang kerusi terbanyak dan menentukan parti yang ikhlas bagi membentuk kerajaan bersama.

“Biar saya jelaskan ‘once and for all’ untuk Umno menjadi dominan semula selepas PRU-15.

“Dominan bukan bermaksud kita angkuh. Umno adalah parti terbesar bangsa Melayu. Umno adalah parti terbesar di negara ini. Apabila Umno tidak menjadi tonggak kepimpinan negara ini, rakyat tidak lagi mengecapi kestabilan.

“Selama 22 bulan rakyat merana, Raja-Raja Melayu dihina, kepentingan Melayu diketepikan, Islam dicabar, bahasa kebangsaan diremehkan, aset negara dilelong dengan sewenang-wenangnya,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau turut mengulangi pendirian menolak kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sudah disuarakan akar umbi Umno melalui usul yang diluluskan di 124 Persidangan Perwakilan Umno Bahagian.

Malah katanya, 147 daripada 191 ketua Umno Bahagian turut bersetuju menolak kerjasama itu.

Ahmad Zahid berkata, Umno sebagai rakan kongsi politik akan terus jujur untuk menterjemahkan piagam dan perjanjian persefahaman dalam Muafakat Nasional kerana ia adalah doa dan harapan ummah keseluruhannya.

“Piagam Muafakat Nasional yang termeterai belum sampai ke penghujungnya. Namun belum terlambat untuk kita kembali ke pangkal jalan.

“Kaki kita mesti berpijak di tapak yang sama. Tapak yang berbeza tidak menjanjikan sebarang keberuntungan, apatah lagi pertambahan kerusi,” katanya.

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/688832/bn-akan-bertanding-bersendirian-pada-pru-15