Mujahid Umum Pelantikan Ketua Pengarah JKSM Baharu

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof hari ini mengumumkan pelantikan Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) yang baharu.

Dato’ Dr Mohd Na’im sebelum ini menjawat jawatan sebagai Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor dan Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.

Beliau juga pernah menganggotai Panel Majlis Perundingan Islam serta menjadi ahli Jawatankuasa Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Selain itu beliau pernah dilantik sebagai Profesor Adjung oleh Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2012.

Kepakaran beliau turut diperakui dunia luar apabila dilantik sebagai Cheavening Felo Pelawat Malaysia di Oxford Centre For Islamic Studies, Universiti Oxford, United Kingdom bagi tahun 2008/2009, Felo Pelawat di Harvard Law School, Universiti Harvard, Amerika Syarikat dan berkhidmat di Universiti Harvard pada tahun 2013.

Dato’ Dr Mohd Naim memulakan kerjaya sebagai pensyarah undang-undang di UIAM pada 1990 hingga 1997 dan selepas itu, beliau menjadi peguam syarie di Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan serta menjadi peguambela dan peguamcara Malaya pada tahun 1997 hingga 1998.

Beliau kemudiannya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Syariah Daerah Petaling sehingga tahun 2001, Hakim Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur dari tahun 2001 sehingga 2003 dan menjadi Pendakwa Syarie Kanan di Jabatan Wilayah Persekutuan Agama antara tahun 2007-2008.

Dato’ Dr Mohd Na’im juga menganggotai beberapa Lembaga Penasihat Syariah Bank-bank Islam tempatan dan luar negara serta beberapa syarikat takaful.

“Dengan pemilihan Dato’ Dr. Mohd Naim ini saya berharap sistem kehakiman syariah di Malaysia akan bergerak kea rah yang lebih baik, selaras dengan hasrat Kerajaan Malaysia baru untuk memperkasa Mahkamah Syariah” Ujar Mujahid.