Mujahid seru tolak golongan sebar kebencian kaum dan agama

Mujahid seru tolak golongan sebar kebencian kaum dan agama

Rakyat Malaysia diajak mengenepikan perbezaan politik, agama, kaum dan sebagainya untuk bekerjasama bagi membina semula negara dengan menolak semua golongan oportunis yang cuba mengambil kesempatan dari masalah yang menimpa negara.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, golongan oportunis ini adalah mereka yang cuba mengambil kesempatan semasa krisis dan masih diheret dengan menyebarkan kebencian kelompok, kebencian kaum dan kebencian agama sesama rakyat.

“Mereka gagal memahami konsep kerakyatan yang melihat berbagai bangsa dan etnik di Malaysia sebagai warganegara dan rakyat yang cintakan negara.

“Mereka menggunakan agama dan bangsa untuk mewajarkan kebencian mereka kepada kaum lain dan agama lain untuk tujuan kuasa dan kepentingan diri,” kata bekas Menteri Agama itu dalam satu tulisannya untuk Malaysia Dateline.

Antaranya beliau merujuk kepada tindakan pegawai kanan sebuah kementerian yang telah cuba mengambil kesempatan dari krisis yang melanda negara untuk kepentingan mereka.

“Kita dikejutkan siasatan SPRM ke atas Kementerian Kesihatan Malaysia di mana peruntukkan RM30 juta yang dikatakan diberikan kepada sebuah syarikat yang tidak layak.

“Begitu juga nilai bantuan makanan asas yang diperuntukkan bernilai RM100 didapati diagihkan pada nilai RM30 sahaja.

“Integriti yang dipertikaikan semasa krisis boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan ini akan membantut usaha memulihkan keadaan,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat harus bersatu dalam membina ketahanan negara dengan menentang perasuah-perasuah yang penting diri kerana terdorong atas kepentingan wang di atas penderitaan rakyat.

“Sejauh mana solidariti kita menentang mereka akan menentukan kejayaan rakyat Malaysia melalui krisis pandemik ini.

“Ini bukan masanya kita mempertahankan kelompok kita tetapi inilah masanya kita mempertahankan kepentingan negara bersama.

“Politik ini adalah asas kepada membentuk perpaduan nasional melalui budaya memupuk konsensus kepada perkara-perkara prinsip yang menjayakan integriti sebuah negara,” kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu.

Beliau yakin dalam masa krisis ini rakyat Malaysia punya daya ketahanan yang tinggi bagi membantu negara bangkit semula dan opitimis Malaysia akan menjadi lebih kuat dari sebelumnya dengan solidariti yang telah kita pupuk semasa krisis.

“Saya yakin kepada prinsip dalam mengendalikan krisis iatu dalam setiap krisis ada peluang dan peluang terbaik yang kita ada hari ini ialah membina bersama daya ketahanan nasional,” katanya.

Berita penuh : https://malaysiadateline.com/ketepi-perbezaan-tolak-oportunis-dalam-bina-semula-negara-seru-dr-mujahid/