Mujahid jawab isu kalimah ALLAH

Mujahid jawab isu kalimah ALLAH

Mahkah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini memutuskan bahawa kerajaan telah melakukan kesilapan dalam mengeluarkan larangan penggunaan kalimah “Allah” pada tahun 1986 kepada masyarakat bukan Islam.

Justeru, mahkamah sama memutuskan seorang wanita Kristian yang berbangsa Melanau berhak menggunakan kalimah “Allah” untuk tujuan keagamaan dan pendidikan.

Hakim Nor Bee Ariffin hari ini membenarkan tindakan undang-undang oleh Jill Ireland dalam kemelut yang berlarutan hampir 13 tahun.

Kes ini adalah berpandukan kepada artikel 11 Perlembagaan Negara tentang hak kebebasan warganegara termasuk mengamalkan agama selain Islan dengan syarat ia tidak menyebarkannya kepada orang lain dalam 11 (4).

Semasa kes ini tercetus sejak 2008 dan diheret dengan kes Herald akhbar mingguan Kristian tahun 2009 , saya mengambil langkah berdialog. Negara masih ingat sepanjang tahun 2009-2013, rakyat diheret melalui isu ini dengan berbagai debat dan tidak kurang ia digunakan untuk tujuan menaikkan sentimen dan emosi negatif dalam hubungan antara agama di negara ini.

Saya senantiasa berpendirian isu ini bukan sahaja tentang undang-undang tetapi dialog silang kepercayaan adalah jambatan mengawal dan mengelakan kebencian agama tercetus. Islam sebagai agama kedamaian menganjur dialog aman untuk menjaga kepentingan lebih besar dari isu perkataan Allah samada bukan Islam boleh gunakan atau tidak?

Hak menganut dan beramal termasuk dalam memilih perkataan yang mendekatkan diri dengan kepercayaan seseorang. Dalam kes ini penganut Kristian di Sarawak dan Sabah sahaja yang gunakan perkataan allah dalam menterjemahkan god di dalam injil mereka. Di Semenanjung isu ini tidak timbul.

Orang Melayu merasakan penggunaan perkataan “allah” dalam terbitan bahan agama kristian boleh mengelirukan umat Islam. Saya berhujah ketika itu artikel 11(4) jelas melarang berbuat demikian dan jika ada pihak menyebarkannya kepada umat Islam, laporan polis perlu dibuat kerana telah menyalahi undang-undang negara.

Kes ini berjalan selama 13 tahun dan bayangkan selama ini jika kita biarkan kebencian dan permusuhan menguasai keadaan mungkin negara ini akan terus bergolak namun usaha dialog dalam menjaga keamanan negara yang lebih utama telah selamatkan kita. Hari ini Mahkamah telah memutuskan dan semua pihak harus menghormatinya berpandukan kepada undang-undang yang ada dalam negara ini.

Parti AMANAH sebagai pembawa obor Rahmatan Lil Alamin, menyeru semua pihak supaya tingkatkan hubungan antara agama dengan penuh kedamaian dan pamerkan Islam dengan dakwah yang ramah dan tamah. Sepanjang sejarah Islam, bukan Islam telah pun menyebut perkataan Allah tetapi ia sedikitpun tidak menjejas Islam berkembang seluruh dunia. Isunya ialah apakah Islam telah disampaikan dengan cara dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w ataukah dengan cara kekerasan dan kekasaran dan kita mendakwanya sebagai cara Islam?

Kita memilih jalan dengan menghormati prinsip perundangan dan enggan mengeksploitasi sentimen agama sempit terhadap kerajaan PN hari ini. Banyak isu lebih besar tentang pelanggaran demokrasi dan kerajaan tanpa mandat yang perlu kita bereskan bersama.

DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Parti Amanah
Ahli Parlimen Parit Buntar

10 March 2021

Sumber :