Muhyiddin terperangkap dalam krisis perlembagaan yang diciptanya sendiri. Beberapa kali telah ditegaskan bahawa pengendalian covid 19 tidak boleh dipisahkan dengan fungsi demokrasi parlimen yang merupakan teras utama pemerintahan negara.
Nasihat kabinet kepada YDPA ternyata tersasar dari mencapai matlamat Darurat Covid kerana hakikatnya ianya adalah Darurat Politik untuk selamatkan nyawa politik Mahiadin dan kerajaan PN yang hingga kini tiada bukti keabsahan majoriti.
Walaupun 6 bulan kemudian pada 26hb July Parlimen dibuka Mahiadin telah terperangkap dalam krisis perlembagaan yang beliau sendiri cipta melalui Menteri Undang2nya. Krisis ini bukan teknikal tetapi perkara rukun yang melibatkan Institusi Raja Berperlembagaan dengan membelakangi kuasa YDPA yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Darurat Politik ciptaan Mahiadin kini jadi senjata makan tuan apabila beliau gagal mematuhi prinsip undang-undang dengan mencabuli kuasa YDPA dalam Perkara 150 dan subseksyennya yang jelas Baginda tidak memperkenankan pembatalan Ordinan2 Darurat yang dibuat oleh Kabinet.
Baginda mahu melaksanakan pembatalan melalui perbahasan di Parlimen dan telah pun menititahkan hasrat tersebut. Sebab itulah Baginda sendiri mendesak supaya Parlimen dibuka, hanya setelah dibahas oleh ke dua-dua Dewan Rakyat dan Negara barulah Baginda akan perkenankan bersekali dengan tamatnya Darurat secara otomatik pada 1hb Ogos kelmarin.
Asakan dari PH dan semua blok pembangkang supaya kabinet Mahiadin mematuhi semangat perlembagaan dalam perkara 150(3) seperti dihasratkan Baginda YDPA, dibalas oleh Mahiadin dengan menutup semula Parlimen dan sekaligus melanggar hak berparlimen yang sangat diperlukan dalam masa kritikal ini. Hari ini Isnin 2hb Ogos 2021 adalah hari terakhir persidangan khas yang telah ditangguhkan atas alasan parlimen perlu ditutup.
Kami tidak ada pilihan bagi menyelamatkan keadaan melainkan semua blok pembangkang bertekad untuk ke perkarangan Parlimen hari ini (Isnin) bagi menyatakan sikap kami kepada pencabulan kabinet ke atas lambang institusi demokrasi negara. Alasan Covid hanyalah helah kerana secara sainsnya bangunan Parlimen telahpun mencapai imuniti kelompok iaitu tahap 4 pemulihan kerana kami telah divaksinkan beserta SOP ketat yang diamalkan di parlimen.
Semua jalan ke Parlimen disekat walaupun hasrat kami hanyalah untuk berada di perkarangan Dataran Istiadat dengan memastikan jarak dipatuhi semasa perhimpunan aman. Apabila sekatan dibuat kami terpaksa ke Dataran Merdeka dan menyatakan pendirian kami di sana untuk mempertahankan perlembagaan dan demokrasi dari dicabuli oleh Mahiadin dan yang bersekongkol dengan PN.
Alasan covid bukan bermakna kita mesti menjerut demokrasi dan mengekang hak berhimpun apatah lagi apabila kerajaan PN bawah Mahiadin mencabuli perlembagaan dan tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan. Kami tiada pilihan melainkan berhimpun menyatakan ketegasan kami membela asas penting negara yang diperuntukkan dalam Perlembagaan kita.
Sekian
DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden Parti AMANAH
Pengerusi Pakatan Harapan Perak D.R
Ahli Parlimen Parit Buntar
Sumber: