Muhyiddin terpengaruh dengan pembohongan pembangkang – Dr Mahathir

Dr Mahathir Mohamad sekali lagi berkata, dakwaan bahawa DAP akan menghancurkan orang Melayu adalah taktik pihak pembangkang pada zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi membolehkan Najib Razak kembali menjadi kerajaan.

Berucap dalam sesi perbahasan untuk menjunjung kasih ke atas titah Yang di-Pertuan Agong hari ini, Mahathir berkata Najib memang berharap apabila menjadi kerajaan, peguam negara yang baru akan mendakwa tiada kes pada anggota parlimen Pekan itu.

Dalam usaha menjadi kerajaan semula, kata Mahathir, Najib membuat dakwaan kononnnya DAP akan menghancurkan orang Melayu jika parti itu – bersama PH – terus menjadi kerajaan.

“Dakwaan ini tak ada asas sama sekali. Ia hanya bertujuan menakut-nakutkan orang Melayu supaya menolak kerajaan PH.

“Sebenarnya DAP tak mampu menghancurkan orang Melayu,” kata beliau.

DAP adalah sebahagian daripada komponen PH yang mendapat mandat untuk menjadi kerajaan pada pilihan raya umum (PRU) dua tahun lalu. Selain DAP, PH dianggotai PKR, Amanah dan Bersatu.

Semasa PH menjadi kerajaan, antara hujah yang sering digunakan pembangkang ialah dakwaan DAP menguasai kerajaan, orang Melayu dan Islam terancam serta Mahathir menjadi boneka kepada parti berkenaan.

Mahathir sudah beberapa kali menafikan dakwaan berkenaan.

PH jatuh melalui gerakan Langkah Sheraton yang digerakkan oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, penyokong beliau dan mendapat kerjasama BN dan PAS.

Muhyiddin kemudian dilantik menjadi perdana menteri dan muncullah kerajaan Perikatan Nasional (PN). Untuk rekod sehingga kini PN kekal sebagai entiti yang tidak berdaftar secara sah.

Kata Dr Mahathir pada zaman PH, menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal keselamatan ialah Muhyiddin.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, kata Mahathir, Muhyiddin tahu ancaman DAP – jika ada – boleh diatasi dengan mudah iaitu melalui pembatalan pendaftaran parti berkenaan.

“Menteri Dalam Negeri tahu dan sedar, dengan hanya membatalkan pendaftaran DAP, maka lumpuh dan hilanglah DAP.

“Cancel (batalkan) saja dia punya registration (pendaftaran), habis dia,” katanya.

Justeru kata anggota parlimen Langkawi itu, yang terdedah kepada kehancuran bukanlah orang Melayu seperti yang didakwa pembangkang suatu masa dulu, tetapi DAP.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/535425