Muhyiddin sia-siakan peluang bincang isu negara, kata Mujahid

Saya sebagai ahli parlimen dikejutkan dengan surat dari Parlimen Malaysia yang memaklumkan persidangan pada 18 Mei hanya terbatas kepada titah YDPA sahaja dan kemudian sidang ditangguhkan tanpa perbahasan.

Saya menganggap arahan di atas permintaan PM sendiri selaku Pengerusi Dewan adalah perbuatan yang telah MENSIAKAN tujuan parlimen yang merupakan cabang terpenting legaslatif setelah eksekutif dan kehakiman.

Apatah lg dalam suasana negara mengalami krisis Covid-19, banyak perkara yang perlu dibahaskan demi memastikan negara BERSATU dalam menangani krisis ini.

Apakah PM takut dengan usul Langkawi yang menggunakan haknya untuk satu usul undi tidak percaya kepada beliau sedangkan amalan di Parlimen Komanwel adalah sentiasa mendahulukan usul kerajaan dari usul persendirian.

Sepatutnya PM menumpukan kepada agenda lebih besar negara melalui perbahasan yang sehat untuk membuktikan SOLIDARITI wakil rakyat kepada krisis yang dihadapi oleh negara di saat ini.

Dalam ‘ketakutan’ PM terhadap usul persendirian Langkawi beliau telah menggadaikan keperluan usul kerajaan sendiri yang merupakan satu keutamaan. Ahli Parlimen turut menanti usul dari kerajaan untuk dibahaskan secara sehat demi mencapai konsensus untuk negara.

Saya berkeyakinan kerajaan PN telah hilang fokus kerana keutamaannya adalah untuk mempertahankan kewajaran ‘Langkah Sheraton’ daripada membahaskan krisis covid secara bersama di Parlimen Malaysia.

Sidang Parlimen yang beberapa kali telah ditangguhkan sejak 1 March oleh kerajaan PN kini telah menghadkan pula persidangan 18 Mei kepada Titah Ucapan YDPA sahaja tanpa berbahas apa-apa usul wa imma dari usul kerajaan sendiri.

Jelaslah sidang 18 Mei ini hanya memenuhi kehendak peraturan dan tidak ada kena mengena hasrat kerajaan PN untuk gunakan peluang persidangan untuk membahas kepentingan besar negara semasa krisis. Ia satu langkah primitif ke belakang dan sekaligus menjejaskan kewibawaan institusi parlimen negara.

DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Naib Presiden AMANAH Negara

Sumber: