Muhyiddin saran penjawat awam berwakaf melalui potongan gaji

Muhyiddin saran penjawat awam berwakaf melalui potongan gaji

Bagi meningkatkan tabungan dana dan aset wakaf negara, satu inisiatif perlu dirangka di peringkat kerajaan persekutuan untuk menggalakkan penjawat awam berwakaf khususnya secara berkala melalui potongan gaji, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu antara empat perkara utama yang digariskan bagi memastikan instrumen wakaf dapat memainkan peranan penting dalam membantu ekonomi negara.

Untuk itu, beliau mahu semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan serta agensi peringkat persekutuan memainkan peranan dalam menggalakkan pegawai dan kakitangan mereka berwakaf.

Katanya, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali telah meluluskan Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020 Tatacara Pelaksanaan Sumbangan Wakaf Tunai Melalui Potongan Gaji Secara Sukarela Bagi Pegawai Awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan dan negeri.

“Begitu juga dengan institusi-institusi perbankan dan kewangan dalam membantu mempelbagaikan lagi platform berwakaf.

Institusi-institusi kewangan Islam seharusnya menjadikan wakaf sebagai elemen yang menjadi nilai tambah kepada produk dan perkhidmatan kewangan mereka,” katanya dalam ucapan bersempena pelancaran bulan Ramadan sebagai Bulan Wakaf Kebangsaan yang disiarkan melalui akaun Facebook rasminya pada Selasa.

Selain itu, Muhyiddin berkata, pembangunan hartanah wakaf juga perlu dijadikan satu elemen penting dalam penyediaan pelan pembangunan setiap Rancangan Malaysia.

Dalam konteks itu, katanya, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan badan korporat bersama-sama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan majlis agama Islam negeri perlu mengenal pasti ruang dan peluang kerjasama yang boleh dijalinkan bagi mengoptimumkan penggunaan dan pembangunan aset-aset wakaf.

Perdana menteri turut mahu satu pelan pembudayaan wakaf yang holistik dan komprehensif dirangka di peringkat nasional dan negeri bagi mewujudkan masyarakat yang lebih celik wakaf.

Katanya, YWM perlu diperkasakan sama ada dalam bentuk suntikan dana atau pertambahan bakat supaya ia benar-benar dapat menjadi teladan pentadbiran wakaf yang terkedepan di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap melalui peranan institusi-institusi berkaitan wakaf di Malaysia, kita boleh menawarkan kepakaran serta model amalan terbaik kepada negara-negara Islam yang lain dalam usaha mengembalikan kegemilangan wakaf,” katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan persekutuan melalui JAWHAR dan YWM akan terus komited untuk bekerjasama dengan majlis agama Islam negeri-negeri agar instrumen wakaf dapat berperanan aktif dan efektif untuk membangunkan taraf sosioekonomi ummah.

Mengenai pelancaran bulan Ramadan sebagai Bulan Wakaf Kebangsaan, Muhyiddin berkata ia dilaksanakan bagi memastikan masyarakat dapat memberikan tumpuan khusus kepada kehebatan wakaf. “Ini bukanlah bermaksud untuk berwakaf perlu menunggu Ramadan tetapi kita akan merancakkan lagi aktiviti wakaf pada bulan ini ke seluruh pelusuk Malaysia.

“Semoga setiap aktiviti yang dirancang sepanjang Bulan Wakaf Kebangsaan Tahun 2021 ini akan dapat memenuhi hasrat amal jariah pewakaf dan beroleh ganjaran serta rahmat Ilahi,” katanya.

Perdana Menteri turut menyentuh mengenai Dana Kenanga Waqf Al-Ihsan iaitu unit amanah yang dilancarkan hasil kerjasama Kenanga Investors Berhad dan YWM serta kerjasama kedua di antara YWM dan Bank Rakyat.

Muhyiddin berkata menerusi kerjasama dalam meningkatkan tabungan dana wakaf, Bank Rakyat telah memberi komitmen untuk menyumbangkan dana wakaf sebanyak RM1 juta sebagai geran padanan. “Bagi setiap ringgit disumbangkan pewakaf individu ke platform disediakan Bank Rakyat.

Bank Rakyat akan mewakafkan nilai yang sama kepada Dana Wakaf Tunai. Ini adalah revolusi wakaf cetusan sinergi sektor korporat yang mampu menyumbang kepada pembangunan dan perkembangan wakaf di Malaysia,” katanya
Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/133358/BERITA/Nasional/Penjawat-awam-digalak-berwakaf-melalui-potongan-gaji?