Muhyiddin perlu letak jawatan, tak perlu undi percaya lagi

Muhyiddin

Muhyiddin Yassin tidak perlu menguji keabsahannya sebagai perdana menteri dan cukup dengan meletakkan jawatan sekiranya ternyata hilang majoriti, kata Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata demikian merujuk kepada surat balas Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun yang tular di media sosial dan didakwa mengesahkan Muhyiddin telah hilang majoriti.

Khaled berkata, sekiranya benar pengesahan daripada Azhar itu maka perdana menteri tidak lagi perlu menguji sokongan beliau di Dewan Rakyat.

muhyiddin

“Beliau maklum dan tahu sokongan sebenar terhadap beliau.

“Justeru beliau mesti mematuhi segera Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan, iaitu meletakkan jawatan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan Azhar didakwa telah mengesahkan bahawa Muhyiddin hilang majoriti sebagai perdana menteri untuk memimpin kerajaan.

Berdasarkan surat yang tular, Azhar memaklumkan perkara itu kepada Istana Negara dengan mengesahkan Muhyiddin kini hanya memiliki 100 sokongan di Parlimen.

Surat didakwa diutuskan Azhar kepada Agong itu menyebut bahawa Muhyiddin hanya ada 100 kerusi selepas Ketua Wanita Umno Noraini Ahmad meletak jawatan sebagai menteri pengajian tinggi dan menarik sokongan terhadap perdana menteri.

Surat itu diutuskan Azhar kepada Istana Negara sebagai menjawab warkah Yang di-Pertuan Agong mengenai kedudukan sokongan terhadap kerajaan.

Dalam pada itu, Khaled berkata, Azhar perlu menjelaskan surat yang tular itu sama ada sahih atau tidak.

Katanya, jika tidak sahih, Azhar harus segera menafikannya.

“Jika tidak beliau telah gagal menjalankan tugas dengan adil dan neutral serta sengaja bersekongkol dengan perdana menteri bagi mempertahankan keabsahannya yang telah hilang,” katanya.

Khaled juga merayu agar Agong terus bertindak tegas dengan melaksanakan Perkara 43(4), sekiranya Muhyiddin telah hilang sokongan.

“Semoga Agong terus teguh mempertahankan kedaulatan Perlembagaan dan melaksanakan segala peruntukannya dengan bijaksana dan berhikmah,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/13/tak-perlu-undi-percaya-muhyiddin-patut-letak-jawatan-kata-khaled/

BACA JUGA : Kadar kebolehjangkitan Covid-19 Perlis amat tinggi

COMMENTS

Wordpress (0)