Mudahnya orang kita cair dengan watak lemah orang politik

orang

Mudahnya orang kita cair dengan watak lemah gemalai orang politik.  Melihat reaksi segelintir masyarakat pada hari ini, termasuklah dalam kalangan pempengaruh (influencer), artis-artis, segelintir agamawan dan seumpamanya berkenaan peletakan jawatan Perdana Menteri beserta gelagat mereka setelah Perdana Menteri interim memberi perutusan khas beliau yang terkini, sedikit sebanyak merisaukan sejauh mana corak dan citra kepolitikan negara pada tempoh yang akan datang, terutama sekali dalam konteks menilai seseorang pemimpin yang berkelayakan mengurus tadbir negara. Ada juga yang bersikap keterlaluan sampai tahap merakamkan video tangisan teresak-esak dek kerana kejatuhan kerajaan dan pemimpin kesayangan mereka.

Nampaknya, rata-rata masyarakat masih lagi terperangkap dengan cara berpolitik yang berkiblatkan keperibadian berbanding politik yang berasaskan prinsip dan nilai. Mereka mudah terpedaya, cair dan lembik tengkuk apabila seseorang pemimpin tersebut mempunyai perwatakan yang lemah gemalai di khalayak, sopan santun, beperwatakan ala lebai, pandai berdoa dengan suara yang mendayu dan menyelitkan ucapan dengan kata-kata syahdu, sebak serta ayat islamik (tunggang nama Allah, sirah Rasul dan seringkali menunggang takdir).

Kesemua ini jika diteliti tidaklah bermasalah sangat kalau bukan dijadikan ukuran tunggal kepada kompetensi atau kredibiliti pemimpin tersebut (not a big deal). Walau bagaimanapun, ia menjadi masalah malahan boleh berubah menjadi malapetaka apabila ia dijadikan penilaian utama kepada pemimpin berbanding menilai keupayaan dan kewibawaan pemimpin dalam berpegang atau mengamalkan politik yang berasaskan nilai serta prinsip. Justeru, permasalahan ini amat memerlukan kepada sudut pandang pendidikan politik dan wacana kepolitikan yang lebih segar agar masyarakat tidak berterusan berada di takuk yang lama.

cair

Antara Retorik dengan Realiti

Kita ambil beberapa babak atau episod yang menimbulkan tanda tanya, yang memperlihatkan keperibadian di khalayak itu (dari segi kehalusan pekerti atau ucapan perutusan retorik) kadangkala tidak selari dengan apa yang hakikatnya berlaku atau di sebaliknya (dalam mesyuarat tertutup ataupun di sebalik tabir).

Antara contoh paling jelas, retorik yang mendakwa kononnya tidak akan bersekongkol dengan kleptokrat, padahal diri sendiri buat-buat lupa suatu ketika dahulu sokongan dan dokongan kluster kleptokrat itulah yang didamba untuk menjawat jawatan tertinggi negara sehingga sanggup mengkhianati rakan-rakan sendiri. Kemudiannya, sungguh ironi apabila kes-kes berprofil tinggi dan yang jelas melibatkan jenayah kolar putih dengan mudahnya terlepas dan pelakunya dibebaskan. Tak ke pelik orang yang sembang retorik macam ni? Tapi lagi pelik ramai pula yang percaya dan terpedaya. Kesian.

Contoh lain, sudah menjadi rahsia umum sosok yang sama juga dengan rakus dan tanpa segan silu menaburkan jawatan demi jawatan (atau popular dengan label scheme of things / sogokan jawatan yang termasuk dalam definisi rasuah menurut SPRM) semata-mata untuk mengekalkan sokongan dan kedudukan, dahulunya tersebar melalui klip audio yang bocor dalam mesyuarat tertutup, namun pada ketika hayat jawatan sudah berada di hujung tanduk tergamak menyogok jawatan dengan pelbagai kemudahan kepada seterunya secara terang-terangan di kaca televisyen semata-mata untuk mengekalkan kuasa (atas nama perpaduan rentas parti dan mengutamakan kepentingan rakyat). Pada tahap ini pun ada yang terpedaya dan bersangka baik dengan ‘niat tulus dan murni.’ Bukan kaleng-kaleng.

Pada sudut lain, sosok yang dikatakan sangat cocok menjadi pemimpin utama kerana berani dan pandai melantun doa yang mendayu-dayu serta berkebolehan mengimamkan solat dengan bacaan yang baik (termasuklah penilaian yang dibuat oleh segelintir tokoh agamawan berpengaruh). Ini dikatakan petanda yang bagus untuk negara yang majoritinya adalah penganut agama Islam, sehinggakan mendapat pelbagai cop warranty (jaminan) rahmat, sertuan pasukan kabinet yang berwibawa dan bermacam-macam lagi.

Walau bagaimanapun, jikalau ini sahaja yang menjadi ukuran, namun dalam masa sama sosok yang serupa dilihat tidak berani berhadapan dengan soalan rakan sejawat di parlimen (ahli parlimen), menyempitkan ruang untuk semak dan imbang, menutup parlimen dengan alasan dangkal dan tanpa justifikasi yang berasaskan data dan sains serta tidak berani berhadapan soalan wartawan secara langsung (melainkan sedikit). Maka apakah ini pemimpin yang dikatakan paling layak memegang tampuk tertinggi pentadbiran negara? Saya ambil contoh paling mudah pasal soalan wartawan, ada satu babak sosok ini ditanyakan pandangan mengenai kibaran bendera putih, lalu dengan nada berseloroh beliau kata kalau warna biru takpa (langsung tiada nilai empati dan buat jenaka pada waktu dan tempat yang kurang sesuai).

Kritik Gerak Kerja Bukan Semestinya Kritik Peribadi dan Penggunaan Agama yang Berlebihan

Di samping itu, jangan pula sering mencampur adukkan antara kritikan berkaitan bidang tugas dengan kritikan yang bertujuan untuk membunuh karakter ataupun memperlekehkan keperibadian. Jauh bezanya. Umpamanya, jika kita mengkritik cara pengurusan pandemik, perisytiharan darurat yang tidak menjadi dan seumpamanya, jangan pula dikatakan kita dengki, cemburu dan juga ingin meruntuhkan kerajaan majoriti melayu-islam. Ini pun malapetaka besar juga jika garis sempadan halus tidak boleh dibezakan. Hanya melihat warna hitam-putih, minda binari.

Tambahan, berhentilah sewenang-wenangnya mengguna pakai nama agama dalam tindak tanduk politik. Pemimpin yang masuk politik, bertanding pilihan raya dan menjadi ahli parlimen adalah ahli politik tulen / pure (meskipun dalam masa sama mereka ada topi tuan guru, pendakwah, ustaz, pensyarah dan sebagainya). Justeru, janganlah terkeliru apabila mendakwa jika sosok ini dikritik dari sudut gerak kerja dan tugasnya, maknanya orang yang mengkritik tidak hormat ulama’, busuk hati, hati kotor, menghina dan seumpamanya. Ini juga garis sempadan antara kritikan terhadap keperibadian dengan kritikan terhadap pelunasan tanggungjawab yang perlu dibezakan sejelas-jelasnya.

Kemudian, jangan pula asyik nak canang segala tingkah laku dan selera politik yang dibuat boleh dijustifikasi dan ‘disesuaikan’ dengan dalil agama, sebaliknya pihak yang tidak bersetuju dianggap sebagai menentang agama atau menyanggahi dalil. Dah berapa kali dilontarkan, agama dengan politik perlu dibezakan (bukan dipisahkan). Ini juga adalah pandangan para ulama’ yang hakiki dan rabbani sepanjang zaman. Saya dah pernah sentuh sebelum ni, kalau tak nak faham dan tak boleh terima juga takpelah, sekurang-kurangnya saya sudah sampaikan amanah ilmu yang diyakini benar dengan dalil dan hujah bukan sentimen ataupun asabiah.

Persoalan Pokok

Saya secara peribadi tidak berminat untuk mengulas lebih-lebih ataupun sibuk ingin tahu kesudahannya apa, saya lebih cenderung untuk baca ulasan-ulasan banyak pihak yang pakar dan berwibawa (pada penilaian saya), seterusnya serahkan sahaja kepada kebijakan YDPA dalam menangani krisis politik dan perlembagaan ini (sekali lagi) yang sebenarnya dicetuskan oleh puak dan kelompok yang sama juga (jangan nak lepas tangan atau buat-buat innocent).

Selain itu, sejujurnya saya tidaklah menjangkakan apa-apa luar biasa ataupun semacam magik yang akan berlaku pada masa terdekat jika kerajaan baharu akan ambil alih sekalipun, hal ini secara realiti sebenarnya agak sukar untuk mengembalikan semula negara di atas landasan yang sepatutnya dalam tempoh yang singkat setelah ianya dijarah dengan rakus oleh puak yang mencuri mandat di tengah penggal (ditambah dengan PM sebelum ni yang letak jawatan tanpa bincang atau tak nampak usaha untuk mengekalkan kerajaan mandat PRU pada ketika itu).

Cumanya, jika kerajaan dan pakatan yang sama dikekalkan, harapan kecil saya agar sekurang-kurangnya saiz kabinet yang maha besar dan majoritinya tidak berfungsi dengan baik pun di kala pandemik ini dikecilkan dan diganti dengan pasukan kabinet yang lebih berwibawa (meskipun dalam kolam ahli parlimen yang sedia ada juga). Kemudian nanti diharapkan pada PRU akan datang, puak-puak rakus ini bungkus ikat tepi je lah. Ini yang agak lucu, boleh pula segelintir yang sakit hati dan otak mendakwa kerakusan penentang kerajaan yang menyebabkan berlaku krisis yang kita dapat lihat pada saat ini, padahal yang mula-mula menimbulkan masalah rakan dalam pakatan mereka sendiri. Sungguh ironi, siang malam mereka bermesyuarat dan berbincang untuk mengekalkan kuasa, tanpa kira hari cuti atau hari bekerja, tapi jika melibatkan kepentingan rakyat boleh pula beri 1001 alasan dan perlu menunggu waktu dan hari bekerja.

BACA Juga : Presiden Pas tak dapat hadir, Tuan Ibrahim wakil
Jalan Ke Hadapan

Apapun, semoga babak dan episod yang mewarnai (atau mencemarkan) landskap politik negara akhir-akhir ini menjadi pengajaran dan membuka mata (sekurang-kurangnya buat mereka yang sudi berfikir) untuk segera beralih daripada sikap berpolitik yang berkiblatkan keperibadian. Begitu juga diharapkan agar mereka yang menerajui pentadbiran negara selepas ini lebih berwaspada dan bersikap waras, cerdik dan bertanggungjawab dalam menjalankan amanah yang sepatutnya dilaksanakan, tidak hanya berterusan bongkak, jadong, berpaut pada dahan rapuh sentimen serta semangat ketaksuban yang melampau.

Sudah-sudahlah, jika hendak maju ke hadapan, masyarakat perlu dididik untuk bersikap taksub kepada prinsip, nilai dan kebenaran berbanding berterusan taksub ataupun ‘menyembah’ sesuatu sosok peribadi. Satu lagi, selepas ini berhentilah memberi gelar abah, bonda, nenda, paklong, pakngah, paksu dan sebagainya kepada siapapun yang menjadi pemimpin setelah ini. Saya secara peribadi geli geliman, mimpi ngeri rasa hari-hari menghadap gelaran macam ni.

Ya, kalau sayang sangat pun berpada-padalah, jangan sampai menjilat dan membodek tak tentu pasal, sehingga soal pokok reformasi institusi, tadbir urus yang baik, politik yang berasaskan nilai serta prinsip itu dipandang sepi, diinjak-injak dan dihumban ‘kelaut dalam’ demi pemimpin kesayangan yang dinaik taraf menjadi salasilah “ahli keluarga angkat.”

Tidak dilupakan, salam hormat dan salam perjuangan buat Perdana Menteri dan pasukan kabinet beliau, terima kasih (sekurang-kurangnya) kerana pernah mewarnai landskap politik negara dengan bermacam-macam ‘keunikan’ yang tak pernah dibuat orang dan tindakan-tindakan duluan yang sentiasa akan dikenang dalam lipatan sejarah meskipun dalam tempoh yang singkat.

Akhir sekali, di samping berterusan berdoa memohon dikurniakan pemimpin yang soleh pada saat getir ini, kita sebagai rakyat bawahan bertanggungjawab perlu terlebih dahulu berusaha menjadi rakyat, pengikut dan penyokong yang soleh juga. Namun, soleh di sini bukan bererti kita mendiamkan dan mengiakan sahaja segala tingkah laku dan tindak tanduk bobrok serta rakus pemimpin, akan tetapi perlulah bersikap kritis, menegur dan mengkritik jika ada bibit-bibit salah laku, pecah amanah dan kecurangan seumpamanya.

Semoga negara Malaysia segera dibebaskan dari kongkongan cengkaman budaya kepolitikan yang berasaskan keperibadian yang melampau walau pihak manapun dan siapapun yang menerajui kepimpinan negara (termasuklah dibebaskan daripada cengkaman pertembungan berpanjangan elit politik dalam kalangan atuk-atuk dan dinosor politik sekurang-kurangnya bagi tempoh 5-10 tahun mendatang).

Sumber:

 

BACA:Prof Agus pilih Anwar, ini sebabnya…

COMMENTS

Wordpress (0)