Muda telah berjaya didaftar secara rasmi

Muda telah berjaya didaftar secara rasmi. Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) secara rasmi telah mendapatkan pendaftaran sebagai parti politik daripada Pertubuhan Pendaftaran (RoS).

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya telah menerima maklumat pendaftaran itu pada 23 Disember lalu manakala menerima surat rasmi sebagai parti berdaftar pada semalam.

Beliau kemudian memaklumkan, Muda setakat kini telah menerima lebih 60,000 pendaftaran ahli dan dijangka angka tersebut bertambah selepas berita pendaftaran parti.

“Kita telah menerima berita baik pada minggu lalu, cuma kami tidak mahu memfokuskan soal ini kerana mahu tumpu membantu mangsa banjir. Tidak mahu berita politik menenggelamkan masalah banjir dihadapi rakyat.

“Saya ucapkan terima kasih kepada institusi kehakiman negara kerana mengamalkan prinsip pengasingan kuasa seperti dalam Perlembagaan Persekutuan dan juga kepada kerajaan Malaysia yang tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi terhadap pendaftaran Muda,” katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian hari ini.

Mahkamah Tinggi sebelum ini mengarahkan Kementerian Dalam Negeri membenarkan Muda didaftarkan sebagai parti politik dalam tempoh 14 hari dan membayar kos guaman sebanyak RM10,000.

Muda mengambil tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang menolak rayuan kumpulan itu untuk didaftarkan sebagai sebuah parti politik.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata, keahlian Muda kini terbuka kepada mana-mana pihak manakala pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian tanpa proses birokrasi.

Jelas Ahli Parlimen Muar itu, mereka yang ingin menjadi ahli Muda boleh melakukannya dengan melayari laman web Muda manakala proses pendaftarannya adalah mudah.

“Tiada warlord dalam proses pendaftaran Muda, kita terbuka kepada setiap rakyat untuk menyertai kami. Hal ini kerana kita mahukan Malaysia yang baharu demi masa depan yang cemerlang untuk tanah air.

“Kita menerima pendaftaran pelbagai latar belakang termasuk golongan profesional yang mahu berjuang bersama Muda dalam melaksanakan politik khidmat,” katanya.

BACA JUGA:

Panas !!! 6 tapak kolam takungan banjir KL dijadikan tapak pembangunan
Gadis baru berumur 16 tahun tetapi miliki wajah berusia 50 tahun, ini puncanya…