MPN diperkenal Tun M tak perlukan status menteri, bazir wang rakyat

MPN diperkenal Tun M tak perlukan status menteri, bazir wang rakyat. TIDAK perlu status menteri dan tidak menggunakan wang rakyat, demikian kata Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mengenai perbincangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang digerakkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hannah berkata demikian susulan pelantikan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi MPN yang baharu bertaraf menteri, diumumkan kerajaan semalam.

“Perbincangan ‘Majlis Pemulihan Negara’ dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad melalui aplikasi Zoom tidak perlu menggunakan $ (wang) rakyat dan tidak perlu status menteri.

“Kalau ada kesungguhan membantu rakyat, jalan terus sahaja. Meeting of the minds is free,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Beliau turut memuatnaik gambar mesyuarat itu yang turut disertai Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman serta Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.

Awal bulan lalu, Dr Mahathir menggerakkan sendiri mesyuarat MPN yang dipengerusikan beliau bagi mencari jalan serta cadangan bagi menyelesaikan kemelut pandemik Covid-19 serta ekonomi negara.

MPN

Pada 5 Ogos lalu, ia mengadakan mesyuarat pertama disertai 20 individu antaranya veteran politik, Tan Sri Rafidah Aziz; pakar ekonomi, Prof Dr Jomo K. Sundram serta Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Semalam Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 1 September lalu, bersetuju melantik Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri.

Beliau yang juga Setiausaha Jemaah Menteri, berkata pelantikan itu telah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pelantikan itu dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin untuk menerajui strategi pemulihan negara.

Berita Penuh : https://malaysiapost.com.my/2021/09/05/mpn-tak-perlu-status-menteri-tak-guna-wang-rakyat-hannah/

BACA: Pemuda Pas puji Muhyiddin tak terima imbuhan sebagai berjiwa besar