MP PKR dedah individu nama ‘Azhar’ tawar pelbagai imbuhan jika sokong PN

MP PKR dedah individu nama ‘Azhar’ tawar pelbagai imbuhan jika sokong PN

Ahli Parlimen Padang Serai, M Karupaiya, mendakwa individu bernama Azhar menghubunginya dengan membuat tawaran menyertai PPBM serta berjanji untuk menyalurkan peruntukan dan kontrak sekiranya bersetuju untuk lompat parti dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Karupaiya bagaimanapun menolak tawaran berkenaan dan memberitahu lelaki itu dirinya masih setia kepada perjuangan parti.

Katanya, keputusan tidak melompat parti, seperti dilakukan segelintir wakil rakyat lain, itu turut disenangi oleh rakyat.

“Ada orang ‘call’ saya dari Putrajaya, dia kenalkan diri sebagai Azhar. Saya tidak pasti nama samaran atau apa, saya tidak tahu.

“Dia ingin tawarkan saya sertai PPBM. Dia kata akan bagi tawaran peruntukan yang lebih baik, kontrak dan sebagainya.

“Tetapi saya tolak, saya beritahu saya setia kepada parti,” katanya kepada FMT.

Karupaiya salah seorang daripada lima Ahli Parlimen PKR yang dinamakan Presiden PKR, Anwar Ibrahim sebelum ini, yang didakwa dipancing supaya keluar parti dan menyokong kerajaan Muhyiddin.

Empat yang lain adalah S Kesavan (Sungai Siput), Awang Husain (Putatan), Michael Teo Yu Keng (Miri), dan Natrah Ismail (Sekijang).

Terdahulu, Natrah dikaitkan dengan dakwaan yang dibuat di laman Facebook, Ops Johor, yang mendakwa Ahli Parlimen itu ditawarkan wang RM10 juta untuk berhijrah menyokong parti lain.

Jelas Karupaiya, ia bukanlah kali pertama individu berkenaan menghubunginya, terbaru pada Ahad.

“Ini kali kedua dia hubungi saya. Pertama kali dia hubungi saya tidak berapa faham tentang apa yang dia katakan.

“Saya katakan saya tidak faham dan kena semak dahulu dengan Anwar berkenaan perkara ini,” katanya.

Ketika ditanya mengapa beliau tidak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Karupaiya tidak membuatnya kerana tidak dapat mengesahkan sama ada panggilan itu dibuat oleh individu sebenar atau hanya panggilan palsu.

“Siapa-siapa sahaja boleh hubungi kita, boleh juga hendak uji, saya tidak tahu.

“Bagi saya, sesiapa sahaja boleh uji dan sekiranya individu betul juga boleh uji saya.

“Saya setia kepada parti dan pengundi di kawasan. Saya tidak akan pindah. Walaupun bagi peruntukan atau tidak, saya masih jalankan tugas sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Karupaiya bagaimanapun khuatir sekiranya berlaku tindakan lanjut yang cuba memerangkapnya dengan aktiviti rasuah.

Katanya, pelbagai kemungkinan boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Saya takut juga, nanti ada yang ugut. Letakkan satu beg dalam kereta saya dan kata saya sudah ambil rasuah.

“Sekarang ini benda ini boleh berlaku. Saya tidak mahu macam itu, apa-apa benda boleh berlaku pada kita, bila-bila masa,” katanya.

Pada masa sama, Karupaiya berkata, selepas menolak tawaran menyokong kerajaan PN, anggota keluarganya pula menjadi sasaran apabila diminta memujuknya supaya lompat parti.

“Semalam, ada yang hubungi anak lelaki saya selepas saya katakan tidak berminat sebelum ini.

“Mereka hubungi anak saya dan memintanya untuk hubungi saya. Anak saya katakan, sekiranya diberikan RM50 juta, saya tetap tidak akan berganjak,” katanya.

Beliau tidak pasti bagaimana mereka dapat nombor telefon anaknya.

“Anak saya menetap di Kuala Lumpur dan sesetengah ahli politik tahu siapa beliau.

“Anak saya katakan bahawa ayahnya dalam keadaan stabil dan sekiranya dia (Karupaiya) tidak ada kemampuan kewangan, maka anaknya akan membantu,” katanya

BERITA PENUH :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/18/individu-bernama-azhar-tawar-sertai-ppbm-janji-salur-peruntukan-dakwa-wakil-rakyat-pkr/