Moratorium tanpa syarat minimum tiga bulan kepada PKS – DPIM

Moratorium tanpa syarat minimum tiga bulan kepada PKS – DPIM

Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) mencadangkan kerajaan memberikan lanjutan moratorium tanpa syarat minimum selama tiga bulan kepada semua usahawan di bawah kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) susulan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di beberapa buah negeri.

Presidennya, Datuk Khairul Shahril Hamzah berkata, sekiranya langkah tersebut dilakukan, ia secara tidak langsung dapat mengurangkan beban kepada sektor PKS untuk beroperasi sepanjang tempoh berkenaan.

“Merujuk kepada PKP yang pertama kali diadakan, kebanyakan pendapatan syarikat telah berkurangan sehingga 70 peratus malah ada yang tidak mampu mengekalkan aliran tunai syarikat dengan baik sehingga terpaksa menutup operasi mereka buat selama-lamanya.

“Justeru, bagi mengelakkan lebih banyak syarikat yang akan lumpuh atau menamatkan operasi, kerajaan sewajarnya memberi penekanan yang lebih dalam membantu sektor ini untuk terus bergerak pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, DPIM memohon kerajaan khususnya kementerian yang berkaitan seperti Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Unit Perancang Ekonomi (UPE) supaya segera mencari jalan menyelesaikan isu dan permasalahan melibatkan sektor PKS.

Beliau berkata, seluruh jentera kerajaan di pelbagai peringkat seperti kementerian, agensi serta sektor perbankan diharap dapat bekerjasama membantu seluruh kumpulan sasar termasuk usahawan PKS agar impak kegawatan ekonomi dapat dikurangkan dan syarikat dapat bertahan untuk tempoh waktu yang lebih lama sebelum ekonomi kembali pulih seperti sediakala.

Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas pada Isnin mengumumkan pelaksanaan PKP bagi enam negeri untuk tempoh 14 hari mulai 13 Januari hingga 26 Januari.

Enam negeri yang terlibat adalah Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Pada masa sama, Khairul berkata, DPIM menyambut baik dan akur dengan langkah kerajaan dalam usahanya menangani wabak pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.

SH