Mohammadin Ketapi masuk Bersatu

Mohammadin Ketapi masuk Bersatu.Ahli Parlimen Lahad Datu Datuk Mohammadin Ketapi yang sebelum ini keluar Parti Warisan Sabah (WARISAN) sah menyertai BERSATU.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan malam ini, diputuskan menerusi mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU siang tadi.

“Mesyuarat Khas MPT BERSATU sudah memperakukan dan menerima permohonan Ahli Parlimen Lahad Datu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Segama, Datuk Mohammadin Ketapi sebagai ahli BERSATU yang baharu.

“BERSATU menyambut baik keahlian beliau kerana ia bukan saja bakal mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, maka ia juga akan memberikan manfaat yang besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan DUN yang beliau wakili,” katanya.

Mohammadin sebelum ini mengumumkan keluar WARISAN untuk menjadi Ahli Parlimen dan ADUN Bebas.

Mohammadin

Menyentuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, beliau berkata BERSATU memutuskan untuk mengadakan perbincangan lanjut bersama parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Bagi menentukan strategi dan persiapan menghadapi PRN Sarawak 2021 dan sekali gus untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.

Berhubung PRN Melaka katanya, BERSATU sudah mengenalpasti kelemahan ketika PRN berkenaan dan akan mengambil langkah penambahbaikan dengan segera.

“Keputusan itu membuktikan PN parti yang mempunyai pengaruh serta sokongan kukuh dalam kalangan pengundi PRN Melaka, yang mana BERSATU salah satu parti komponen PN bersama PAS dan GERAKAN.

“BERSATU merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi PRN Melaka yang mengundi dan memberi sokongan kepada calon BERSATU dan parti komponen PN, PAS serta GERAKAN. Sokongan ini manifestasi penerimaan baik rakyat terhadap PN,” katanya.

Dalam pada itu katanya, BERSATU juga memutuskan mengadakan Persidangan Agung Tahunan (PAT) BERSATU kelima pada 18 dan 19 Disember 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang bakal dihadiri 1,600 perwakilan daripada seluruh negara secara fizikal.

“Justeru, selamat bersidang diucapkan kepada semua perwakilan mesyuarat agung bahagian di seluruh negara yang akan bermula 26 November sehingga 28 November ini,” katanya.

BACA: Warga emas mengaku tidak bersalah setubuhi kambing betina

COMMENTS

Wordpress (2)
  • comment-avatar

    […] BACA: Mohammadin Ketapi masuk Bersatu […]

  • comment-avatar

    […] BACA: Mohammadin Ketapi masuk Bersatu […]