Misteri asap hitam tebal di Pulau Pinang kini terjawab. Sebuah kilang pembuatan plastik di Simpang Ampat di sini hangus dijilat api dalam kejadian kebakaran awal pagi tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.53 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Menurut jurucakap itu, pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan sebuah kilang pembuatan barangan plastik berkeluasan kira-kira 740 meter persegi.
“Anggaran kemusnahan adalah di antara 60 hingga 70 peratus dan api dapat dikawal pada pukul 4.35 pagi.
“Setakat pukul 10.30 pagi, kerja-kerja pengawalan dan pemadaman masih dijalankan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata kejadian berkenaan tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan kecederaan.
Operasi tersebut dijalankan oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap sambil dibantu BBP Batu Kawan, Nibong Tebal dan Bayan Baru.
Sementara itu, kejadian tersebut turut menjadi tanda tanya dalam kalangan penduduk di negeri ini apabila ramai mendakwa melihat asap hitam tebal dari jauh sejak pagi dan berkongsi gambar-gambar dari beberapa lokasi di media sosial.
Setakat pukul 11 pagi, asap hitam masih kelihatan di ruang udara.
Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/07/07/asap-hitam-tebal-di-pulau-pinang-jadi-tanda-tanya-penduduk/