MIC kata PN tak hormat dan iktiraf masyarakat India

MIC seolah-olah tidak mempunyai jawapan tentang hala tuju di bawah kerajaan baharu ini.

Kemelut politik yang sedang melanda negara tidak begitu menonjol kerana sibuk memerangi wabak Covid-19 pada masa ini, bagaimanapun keretakan tampak jelas.

Sebagai contoh, MIC yang juga sebahagian daripada kerajaan, seolah-olah terpinggir apabila hanya diberikan satu jawatan Menteri.

Walhal ketika Pakatan Harapan (PH) masih menerajui negara, sekurang-kurangnya empat jawatan Menteri diberikan untuk menangani isu-isu berkaitan komuniti itu.

Ketua Penerangan MIC Kebangsaan, V Gunalan berkata, beliau sendiri tidak pasti bagaimana dia boleh memberi gambaran masa depan masyarakat India.

Kata Gunalan, MIC yang berjuang untuk masyarakat India untuk sekian lama, malah sebelum kemerdekaan lagi, seolah-olah hilang ‘suara’ dan haknya dalam kerajaan hari ini.

“Jadi saya sendiri tidak begitu pasti apakah pula nasib keseluruhan masyarakat India di negara ini, apakah hala tuju mereka dan adakah kebajikan serta hak mereka akan terjamin selepas ini, saya tidak tahu bagaimana hendak menjawab soalan anda.

“Saya boleh berikan kepada anda contoh apa yang sedang berlaku dengan MIC sendiri. Setakat ini, kami hanya diberikan satu jawatan Menteri, lain-lain termasuk Timbalan Menteri mahupun Ahli Dewan Negara juga tidak diberikan seperti kebiasaan.

“Jangan cerita tentang jawatan lain termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sedangkan jika sebelum ini tidaklah kami di anak tirikan seperti ini. Bukanlah kami ‘tergilakan’ jawatan, bukankah ini satu pengiktirafan kepada kami dan masyarakat India?

“Apa yang peliknya pula, ada juga parti lain dalam PN dilonggokkan pula dengan pelbagai jawatan kerajaan, GLC dan yang lain-lain, adakah mereka sahaja yang akan berjuang untuk rakyat sedangkan politik dalaman sendiri tunggang langgang.

“Rata-rata masyarakat India sendiri juga menyedari tentang perkara ini dan pernah banyak kali menyoal tentangnya namun kita sendiri tidak ada jawapan,” katanya, lapor MalaysiaGazette.

Menurut Gunalan, kemelut politik dalaman masih lagi menghantui PN, dan kepimpinan kerajaan ketika ini tidak seperti yang di harapkan.

“Ingat lagi bagaimana kami dari MIC bertungkus lumus membawa balik rakyat kita yang terkandas di India ketika penularan Covid-19 di seluruh negara?

Berita Penuh :https://perakinsights.com/2020/05/06/mic-tidak-puas-hati-dengan-kerajaan-pn/