Mesej tular 50 staf kena Covid-19. ini penjelasan Shopee

Syarikat e-dagang Shopee menafikan mesej yang tular mendakwa 50 kakitangannya dijangkiti Covid-19.

Jurucakap Shopee menekankan bahawa syarikat itu mempunyai langkah berjaga-jaga mengelakkan jangkitan Covid-19 yang ketat termasuk penubuhan pasukan yang melakukan pengesanan kontak tahap pertama, kedua, dan ketiga setiap kali kes dikesan.

“Selain itu, ketika negara terus berjuang menentang Covid-19, kami telah mengambil langkah proaktif untuk membuat ujian calitan Covid-19 untuk semua pekerja.

“Ini juga untuk menyaring sebarang kes tidak bergejala yang berpotensi di kalangan pekerja,” menurut kenyataan Shopee kepada Malaysiakini.

Dalam kenyataan yang berasingan, Shopee juga menyatakan bahawa gudangnya di Shah Alam ditutup sementara waktu untuk membolehkan syarikat itu melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) tambahan yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan, berdasarkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Shah Alam.

Bagaimanapun, menurutnya operasi lain berjalan seperti biasa.

“Shopee beroperasi untuk aktiviti perniagaan seperti biasa dan penghantaran yang dibuat oleh Shopee Express dan semua platform penghantaran kami yang lain tidak terjejas.

“Beberapa kelewatan mungkin berlaku dan hanya untuk penghantaran melalui gudang kami, yang merupakan sebahagian kecil daripada keseluruhan pesanan.

“Pembeli yang pesanannya terjejas juga akan menerima makluman melalui notifikasi di akaun Shopee mereka,” katanya.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/582567

BACA JUGA :  “Jangan bohong, keadaan ekonomi negara makin tenat”

COMMENTS

Wordpress (0)