Menyokong peranan Kementerian Wilayah Persekutuan

Dalam kerajaan Malaysia, semua kementerian adalah penting. Setiap kementerian pula mempunyai keistimewaan masing-masing.
Kementerian Wilayah Persekutuan bertanggungjawab pada Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan  Landskap Negara.

Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah wilayah sementara Landskap Negara adalah jabatan yang merupakan pihak berkuasa ke atas landskap di seluruh negara termasuk taman dan hutan.

Kedudukan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bukanlah seperti negeri-negeri yang mempunyai kerajaan dan perlembagaan masing-masing. Ketiga-tiga kawasan itu merupakan wilayah yang di bawah tanggungjawab kerajaan persekutuan melalui kementerian istimewa ini.

Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pula mempunyai pihak berkuasa tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan. Keistimewaan kedudukan mereka pula adalah Kuala Lumpur merupakan ibu kota Persekutuan Malaysia, Putrajaya adalah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia dan Labuan adalah Pusat Kewangan Luar Pesisir Pantai Persekutuan Malaysia.

Sementara peranan Jabatan Landskap Negara terungkap dengan visi dan misi yang berbunyi untuk menjadi peneraju dan pusat kecemerlangan dalam pembangunan landskap untuk mencapai persekitaran hidup yang berkualiti, mampan dan beridentitikan Malaysia dan memastikan pembangunan landskap yang terancang dan berkualiti bagi menyediakan persekitaran hidup yang kondusif.

Kejayaan sesebuah kementerian terletak pada tiga peringkat iaitu kepimpinan politik, pelaksanaan oleh jentera kerajaan dan sokongan warganegara Malaysia. Ketiga-tiga sektor ini perlu bekerjasama dan komited serta jujur untuk mempertahabkan kementerian ini dan menjayakan kecemerlangan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan landskap negara. Ini kerana keempat-empat komponen itu kepemilikannya bukan saja pada pemimpin parti yang memerintah, penduduk tempatan wilayah berkenaan tetapi juga keseluruhan warga negara Malaysia kerana ia merupakan sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.

Warga negara Malaysia yang mengundi dalam pilihan raya umum tahun 2018 telah memberi mandat kepada Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad. Lantaran itu, beliau menubuhkan kabinet yang salah seorang anggotanya ialah Khalid Samad dari Parti Amanah Negara. Beliau diberi tanggungjawab memimpin Kementerian Wilayah Persekutuan bagi pihak kerajaan Persekutuan Malaysian. Timbalan beliau ialah Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Mereka memiliki pasukan pegawai lantikan politik untuk menjayakan kementerian.

Di peringkat jentera kerajaan, kementerian itu mempunyai pegawai dan kakitangan awam yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian iaitu Datuk Seri Saripuddin Kasim. Kejayaan kementerian terletak pada kerjasama erat antara kepimpinan pasukan politik dan kecekapan jentera kerajaan.

Namun begitu, turut paling penting ialah sokongan warga Wilayah Persekutuan sendiri bagi menjayakan semua rancangan ini. Terdapat tiga peringkat warga Wilayah Persekutuan. Pertama, mereka yang tinggal di Wilayah Persekutuan iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Kedua, mereka yang tidak tinggal di Wilayah Persekutuan tetapi berurusan dengan segala perkara berkaitan dengan Wilayah Persekutuan. Ketiga, seluruh warga negara Malaysia amnya kerana Wilayah Persekutuan adalah milik mereka, termasuk kawasan-kawasan yang dipertanggungjawabkan pada Jabatan Landskap Negara termasuk taman dan hutan.

Sikap positif warga terhadap kementerian ini akan memberikan kebaikan bersama. Sebarang rasa tidak setuju wajar dizahirkan dalam semangat untuk menjayakan kementerian ini, dan bukannya meruntuhkannya.

Sememangnya dalam sistem demokrasi, ada pihak pembangkang yang turut mempunyai keinginan untuk mengambilalih kuasa dari parti kerajaan. Tetapi ia wajar dilakukan secara semangat demokrasi. Pembangkang yang positif dan membina akan mendatangkan kebaikan bersama. Tetapi politik kotor penuh fitnah hanya menyusahkan, negara dan rakyat.

Zin Mahmud