Menteri PAS gagal gunakan kedudukan selesai masalah air Kelantan

Kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa masalah air di Kelantan akan selesai dalam tempoh 30-40 tahun amat memeranjatkan dan memilukan. Tempoh yang begitu lama diambil kerajaan persekutuan Perikatan Nasional (PN) untuk menambah baik prasarana utama rakyat Kelantan ini menunjukkan PN gagal mengutamakan kebajikan rakyat Kelantan yang sudah berpuluh tahun berhadapan masalah bekalan air bersih. Walaupun masalah ini semakin kronik hari ini sehinggakan warna air pun sudah berubah seperti teh tarik, namun kenyataan Menteri Mewa ini tidakpun menunjukkan keprihatinan yang tinggi kepada masalah ini.

Menteri Mewa yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian dan Timbalan Presiden PAS ini seharusnya menggunakan kedudukan beliau sebagai Menteri pusat dan beliau sendiri yang menerajui kementerian berkaitan untuk menyelesaikan masalah ini dengan lebih tuntas. Kenyataan beliau bahawa beliau akan memohon peruntukan RM7.3 bilion di dalam RMK12 menunjukkan tindakan pimpinan PAS yang lemah dalam menguruskan hal ehwal kebajikan rakyat Kelantan sedangkan Kedah telah diluluskan peruntukan RM 600 juta untuk isu yang sama baru-baru ini. Keadaan ini berbeza dengan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) walaupun berbeza parti pemerintah, tetapi tidak mengamalkan sikap diskriminasi terhadap rakyat Kelantan dengan membayar royalti minyak dan peruntukan RM400 juta awal tahun ini. Rakyat Kelantan sering tertanya-tanya, ke manakah wang ini dibelanjakan?

Kerajaan PN dan PAS Kelantan seharusnya belajar dengan kerajaan PH Pulau Pinang yang berjaya menyediakan bekalan air bersih antara terbaik dalam negara. Tempoh penyelesaian masalah ini yang terlalu lama bagi pembinaan empangan, penggantian paip dan menaik taraf loji hanya bagi sebuah negeri sehingga 30-40 tahun bukan sahaja menunjukkan kelemahan PAS tetapi juga menyebabkan derita rakyat Kelantan yang berlarutan. Berbanding tempoh pembinaan rel keretapi ECRL merentasi beberapa buah negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor bernilai RM44 bilion, ianya akan disiapkan dalam tempoh 5 tahun.

Rakyat Kelantan kini seharusnya boleh berfikir, adakah kerajaan PN dan PAS mampu mentadbir dengan baik di Kelantan. Masalah ini telah lama berlarutan sehingga mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk seorang professor terkemuka di dalam negara yang merupakan anak jati Kelantan. Hakikatnya, persoalan yang perlu dijawab oleh pimpinan PN dan PAS di Kelantan ialah kenapakah masalah yang sebegini penting tidak diberikan keutamaan dan diselesaikan dalam tempoh terdekat oleh kerajaan PN? Adakah PAS tiada suara dalam kabinet PN sedangkan peranan mereka cukup besar dalam Langkah Sheraton?

Faiz Fadzil
7 Julai 2020

Sumber: