Menteri langgar SOP? Polis buka kertas enkuiri

Menteri langgar SOP? Polis buka kertas enkuiri

Polis membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) bagi tujuan memulakan siasatan terhadap tuduhan beberapa menteri telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan merentas sempadan negeri untuk menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Seremban, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, pihaknya akan segera melakukan siasatan terhadap dakwaan tersebut susulan daripada laporan polis yang dibuat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

“Setakat ini, kita akan dapatkan keterangan daripada penganjur dahulu,” katanya hari ini.

Wan Kamarul Azran bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada arahan lanjut daripada Ibu Pejabat (Bukit Aman) dan kontinjen (Polis Selangor) untuk diambil keterangan menteri yang didakwa.

Untuk rekod, Muda membuat laporan polis mengenai perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 16 Mac lalu sebelum disusuli laporan polis di lPD Sepang.

Dalam laporan tersebut menyebut kehadiran beberapa menteri di majlis perkahwinan anak perempuan Ahli Parlimen Jelebu, Jalaluddin Alias di Seremban pada 14 Mac lalu.

Menteri yang dinyatakan Muda termasuklah Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad; Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Ismail Mohamed Said.

Sebelum itu, gambar beberapa menteri di majlis perkahwinan tersebut dimuat naik oleh Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohd. Zaidy Abdul Kadir di akaun Instagramnya sebelum dipadamkan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias berkata, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu pihak polis melengkapkan kertas siasatan.

“Bagaimanapun setakat ini, saya belum mendapat panggilan daripada polis dan jika dipanggil saya sedia memberi kerjasama,” katanya.

Berita penuh : https://www.kosmo.com.my/2021/03/19/dakwaan-menteri-langgar-sop-polis-buka-kep/