Menteri KDN perlu ‘direhatkan’ bagi membolehkan Polis lakukan siasatan – Hanipa

Menteri KDN perlu ‘direhatkan’ bagi membolehkan Polis lakukan siasatan – Hanipa

YB Menteri KDN wajar disiasat dan sementara itu wajar diminta untuk “dierehatkan” sehingga siasatan selesai.

1. Media melaporkan bahawa Tan Sri Ketua Polis Negara ( KPN) telah mendedahkan beberapa tindakan YB Menteri Kementerian Dalam Negeri ( KDN ) yang didakwa cuba campurtangan ke atas pasukan uniform tersebut.

2. Untuk berlaku adil kepada YB Menteri berkenaan, apa yang didedahkan oleh Tan Sri KPN tersebut , saya kira, masih berstatus hanya sekadar suatu tuduhan atau dakwaan sahaja di peringkat ini.

3. Ya, berdasarkan prinsip kedaulatan undang-undang atau the rule of law, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak terus melompat dan membuat kesimpulan bahawa beliau adalah dikira bersalah , sebenci dan semeluat mana pun seseorang itu ke atas YB Menteri berkenaan.

4. Justeru itu, apa yang harus dilakukan? Pada hemat saya, memandangkan dakwaan dan tuduhan yang dibuat oleh Tan Sri KPN itu adalah satu tuduhan yang amat serius, maka adalah wajar dan munasabah untuk tuduhan seserius tersebut disiasat secara terperinci.

5. Dalam sistem yang ada sekarang ini, sudah tentu pihak polis yang perlu dan bertanggungjawab untuk menyiasat kes tersebut .

Persoalannya, bagaimanakah pihak polis yang berada di bawah tanggungjawab dan kawal selia KDN boleh mampu melakukan sebuah siasatan yang benar-benar bebas, profesional dan tidak diragui ke atas seorang Menteri KDN yang mana institusi polis tersebut sendiri adalah diletakkan di bawah kawal selia kementerian beliau?

6. Justeru itu, bagi saya, untuk membolehkan sebuah siasatan yang adil, profesional, berintegriti dan bebas dapat dilakukan oleh pihak polis, maka adalah amat wajar YB Menteri KDN perlu diminta untuk di”rehatkan” sehingga tamatnya proses penyiasatan tersebut.

7. Sudah tentu tidak salah juga untuk meminta Tan Sri KPN dan bakal penggantinya juntuk turut “direhatkan” agar proses siasatan tersebut dapat dilakukan dengan telus dan lancar.

Kenyataan Media YB Mohamed Hanipa Maidin
(Ahli Parlimen Sepang)

No photo description available.

COMMENTS