Menteri bagi jaminan tarif baharu elektrik tidak bebankan rakyat

Menteri bagi jaminan tarif baharu elektrik tidak bebankan rakyat. Kerajaan sudah mempertimbangkan semula kadar tarif elektrik di negara ini bagi tempoh 2022 sehingga 2024 dalam usaha untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat ketika ini.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tarif elektrik untuk tempoh tiga tahun itu telah diputuskan dan kadar baharu bakal diumumkan dalam masa terdekat.

Kata beliau, antara yang diambil kira kesan Covid-19 dan usaha memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik tersebut.

“Pengumuman mengenai tarif elektrik yang baharu akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.

“Jumlah keseluruhan pengguna elektrik di seluruh negara dianggarkan lapan juta dan 85 peratus daripadanya adalah pengguna domestik dengan selebihnya pengguna komersial dan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Persatuan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kelab di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Bharu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu itu memberi jaminan kerajaan tidak akan membebankan rakyat terutama pemegang akaun domestik sekiranya ada pengubahsuaian selepas ini.

Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata, semua bekalan elektrik di lokasi yang terjejas banjir termasuk Selangor dan Pahang sudah pulih 100 peratus sama ada mereka yang menggunakan aliran biasa atau jana kuasa mobil.

“Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) ketika ini sedang berusaha membaik pulih semua tiang elektrik yang terjejas akibat banjir dan operasi ini dijangka melibatkan kos ratusan juta ringgit,” jelasnya.

BACA JUGA : 3 Timbalan Pesuruhjaya SPRM keluar kenyataan bersama pagi Ahad pertahan Azam Baki
[Video] Tular aksi buaya berenang sambil depa kaki depan, ini sebenarnya berlaku
Tiga produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual – KKM

Artikel ini disiarkan pada 09/01/2022

COMMENTS

Wordpress (0)