Mentakab tenggelam, “Kali ini, tiada barang yang selamat sebab rumah habis tenggelam”

Mentakab tenggelam, “Kali ini, tiada barang yang selamat sebab rumah habis tenggelam”.Tiada apa yang mampu diungkapkan oleh penduduk Kg Batu Kapor, di sini, selain keluhan mengenangkan kediaman mereka yang ditenggelami air dalam banjir yang disifatkan paling dahsyat dalam tempoh 50 tahun.

Jelas terpancar kegusaran di wajah mereka ketika ditemui Bernama di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Semantan, Mentakab, semalam.

“Ketika ini, kami tidak dapat melakukan apa-apa selain menunggu air surut untuk pulang memeriksa rumah. Kami pasrah dan reda,” kata seorang mangsa Wardiana Bucin, 53.

Rumahnya yang diduduki bersama suami serta dua anak lelaki mula dinaiki air pada Sabtu lalu dan tenggelam sepenuhnya pada Isnin.

Walaupun kampung berkenaan dilanda banjir hampir setiap tahun, Wardiana berkata, bencana kali ini luar biasa hingga menenggelamkan keseluruhan rumahnya.

“Sebelum ini, banjir paling tinggi kira-kira sejengkal dari siling dan kami letak barang elektrik di bahagian siling yang dibina untuk banjir.

“Kali ini, tiada barang yang selamat sebab rumah habis tenggelam,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Siti Zubaidah Md Nazari, 33, berkata rumah yang didiami bersama ibu dan dua adiknya tenggelam sepenuhnya dan masih tidak kelihatan sehingga Khamis.

“Rumah saya bersebelahan dengan rumah datuk dan rumah kakak sulung saya. Ketiga-tiganya tenggelam dan rumah datuk saya yang diperbuat daripada papan, hanyut dibawa arus deras,” katanya.

Tambah Siti Zubaidah, keluarganya juga hanya sempat membawa beberapa helai pakaian dan dokumen penting semasa berpindah ke PPS kerana air naik terlalu cepat.

“Boleh dikatakan ketika-tiga rumah kerugian keseluruhannya. Tetapi ketika itu, kami hanya memikirkan mengenai nyawa, yang penting semua ahli keluarga kami selamat,” kata kakaknya, Zarina Md Nazari, 38.

Tinjauan Bernama di kampung berkenaan pada petang Khamis, mendapati paras air hanya surut kira-kira satu meter, manakala puluhan rumah masih tenggelam hingga paras bumbung.

BACA JUGA:

“Janganlah jerit-jerit dekat saya…. Saya tak biasa orang jerit-jerit dekat saya”
Dos penggalak bukan penyelesaian Covid-19, kata WHO

Artikel ini disiarkan pada 24/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)