Mengenali Almarhum Pak Shukur satu rahmat dalam kehidupan saya – Hannah Yeoh

Hari ini seorang insan istimewa bagi saya telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Sejak saya berumur 29 tahun, baru saja berkahwin dan menjadi ADUN di Subang Jaya, Pak Shukur (A. Shukur Harun – seorang wartawan veteran) telah mendekati saya membina persahabatan, menjadi tulang belakang dan sentiasa menyokong saya. Pada masa itu beliau masih lagi ahli PAS. Apa yang paling mengharukan ialah setiap kali ada tuduhan jahat dan fitnah yang dilemparkan kepada saya, Pak Shukur pasti ada untuk mempertahankan saya.

Pak Shukur selalu melawat saya di pejabat malah beliau pernah berjalan kaki ke pusat khidmat saya semata-mata untuk berkongsi dan menunjukkan rencana yang beliau tulis mengenai politik semasa. Ketika saya hadir membuat laporan dan merakam percakapan di balai polis mengenai buku saya ‘Becoming Hannah’, Pak Shukur datang awal. Walaupun dengan perlahan langkah kakinya, beliau setia menunggu di luar balai polis sehinggalah saya selesai bertemu media.

Kami pernah berkongsi pentas ceramah dan bersama-sama pergi ke masjid untuk program bersempena Ramadan. Hari ini saya hadir di tanah perkuburan untuk bertemu Pak Shukur buat kali yang terakhir. Ketika mereka membacakan doa buatnya, saya memanjatkan rasa syukur kepada Tuhan kerana telah mempertemukan kami. Pak Shukur adalah rahmat yang luar biasa buat saya, persahabatannya telah menjadi penanda aras dalam menghadapi politik perkauman Malaysia yang bergolak di sekeliling saya.

Saya berjaya sampai di saat perpisahan akhir hari ini. Saya sempat berterima kasih kepada anak-anaknya kerana mengizinkan Pak Shukur bersama-sama saya selama 10 tahun menyumbang khidmat bakti di Subang Jaya.

Buat Pak Shukur, hiba hati saya melihat Pak Shukur pergi, namun ketahuilah, Pak Shukur mempunyai tempat yang istimewa di hati saya. Saya terlalu sayangkannya.

Sumber :