Mengapa tulisan penuh pembohongan RPK jadi rujukan ahli Pas?

Mengapa tulisan penuh pembohongan RPK jadi rujukan ahli Pas?

Sekali lagi selepas membaca penulisan Raja Petra (RP) bertarikh 12 Ogos 2020 semalam saya merasa hairan bagaimana beliau tidak mempunyai fakta dan ilmu yang cukup tentang apa yang di tulisnya. Yang banyak adalah pembohongan dan syak wasangka berniat jahat. Kadangkalanya seperti kebudak budakan.

Raja Petra nyata adalah penulis yang kurang membaca dan ketinggalan zaman. Kalau tidak beliau sudah pasti mengetahui sayalah yang paling lantang meminta kes bumbung stadium runtuh ini di siasat sehingga di ketahui siapa pesalah sebenar insiden tersebut.

Saya akan menjadi manusia yang paling gembira jika siasatan bumbung runtuh stadium dapat menentukan siapakah bertanggungjawab dan bersalah. Saya telah berkali kali ke SPRM Putrajaya dan Terengganu untuk mendesak siasatan sepenuhnya.

Sebagai bekas pemaju, Raja Petra sepatutnya mengetahui rekabentuk struktur adalah tanggungjawab jurutera, bukannya arkitek. Pelajar tahun pertama vokasional pun tahu fakta ini. Untuk bumbung Stadium Terengganu pihak JKR telah menganugerahkanya secara reka – bina, atau ‘design and build kepada pihak kontraktor. Ini bermakna ianya menjadi tanggungjawab kontraktor sepenuhnya dan bukan perunding arkitek atau jurutera.

Bagaimanapun sebagai arkitek saya telah 3 kali menulis surat secara rasmi menegur peraturan yang tidak di patuhi tetapi kontraktor dan Pegawai Penguasa pihak Kerajaan tidak mengambil tindakan sewajarnya hingga berlaku keruntuhan. Ini semua terkandung dalam dokumen minit projek.

Kalau Raja Petra boleh mendesak sahabatnya dalam Kerajaan PAS Terengganu membuka semula siasatan seperti sepatutnya dan tidak melindungi pihak tertentu, saya amat berterima kasih supaya rakyat mengetahui siapakah sebenarnya bersalah.

Oleh itu Raja Petra yang tinggal berbelas ribu kilometer di England janganlah membuat tuduhan melulu berniat jahat tanpa fakta dan asas. Beliau terpisah dari realiti sebenar apa yang berlaku di bumi Terengganu dan hidup di England dalam penulisan fantasi membuat tuduhan palsu dan berdosa.

Sebenarmya kisah ini sudah basi di Malaysia tetapi Raja Petra jauh terpisah dari realiti terkini sebenar dan terus menerus menulis dalam alam fantasi dan penuh pembohongan.

Untuk makluman Raja Petra juga, jika saya bersalah dalam insiden bumbung tersebut, sebagai ahli politik pembangkang sudah lama saya dikenakan tindakan oleh kerajaan atau Lembaga Arkitek Malaysia.

Raja Petra juga menuduh saya “marah” kerana tidak dapat projek Istana baru di Terengganu tanpa memberi bukti atau hujah yang munasabah.

Sekali lagi beliau yang telah lama meninggalkan Malaysia tidak mengetahui pun perkembangan organisasi firma arkitek saya dan hanya membuat andaian serta tuduhan membuta tuli seperti biasa.

Apabila PAS memerintah Terengganu dari 1999 – 2004, beberapa perunding arkitek dan jurutera termasuk saya, terpaksa berpindah operasi ke Kuala Lumpur kerana ekonomi negeri yang sunyi.

Alhamdullilah, di antara tahun 2000 dan 2012 saya telah berjaya mendapat beberapa projek di Putrajaya termasuk Istana Melawati untuk DYMM Yang Di Pertuan Agong, menara Tourism Malaysia, menara Kementerian Pendidikan, Hotel Pullman-Hilton dan Pusat Sukan Air Putrajaya.

Dalam tempoh waktu yang sama Istana di Terengganu di bina, saya banyak bertumpu hampir sepenuh masa di Putrajaya untuk 5 projek utama besar yang mempunyai jadual yang amat ketat dibawah pengurusan Presiden Perbadanan Putrajaya sendiri – Allahyarham Tan Sri Azizan.

Oleh itu saya tidak berada dalam keadaan mempunyai masa untuk boleh menumpu kerja di luar Putrajaya dan tidak timbul soal saya berhajat atau marah tidak di lantik dalam projek Istana di Terengganu seperti tuduhan jahat Raja Petra.

Sebagai profesional kami mesti mampu memberi tumpuan yang baik sepenuhnya jika berminat mana-mana projek. Secara realistiknya pada tempoh masa tersebut tidak timbul projek Istana di Terengganu dalam pemikiran saya kerana telah mempunyai tanggungjawab dan komitmen sedia ada dengan 5 projek utama di Putrajaya.

Saya tidak pernah berjumpa mana mana pihak pun untuk membayangkan atau menyatakan hasrat saya untuk melobi projek Istana di Terengganu. Saya mencabar Raja Petra mengemukakan bukti tuduhan beliau.

Tuduhan Raja Putra adalah semata mata pembohongan berniat jahat untuk memburukan hubungan saya dengan pihak Istana. Inilah seburuk buruk niat seorang yang berhati busuk berhasrat menjejaskan hubungan kekeluargaan saya dengan Istana.

Inilah akhlak seorang penyokong kuat Parti Islam yang mempunyai hubungan akrab dengan pimpinan atasan PAS. Inilah penulis yang menjadi jurucakap propaganda harapan PAS.

Malangnya PAS yang melaungkan kesucian Islam merestui pembohongan berterusan sebegini dan mempunyai hubungan erat dengan Raja Petra.

Tidak hairanlah tiada orang lagi yang memberi perhatian kepada penulis yang telah lama hilang kredibilitinya dan maruah serta harga dirinya. Sudah nyatalah Raja Petra menulis tanpa fakta atau rasional tetapi penuh dusta serta fitnah.

Dia akan boleh terus berbuat demikian kerana tahu tiada gunanya mangsa mengambil tindakan undang-undang keatas beliau kerana saya di maklumkan beliau telah lama di istiharkan muflis sejak zaman Rafizi Ramli menyaman beliau pada tahun 2017.

Pengalaman dari kes 2017 menunjukkan keistimewaan seorang muflis yang mempunyai ‘lesen besar’ berbohong berterusan dan di restui serta di gunakan oleh sebuah parti politik besar (PAS) kerana tiada apa bayaran denda boleh di dapati dari saman terhadap seorang muflis. Dia bebas memfitnah kerana bebas dari membayar denda kerana muflis.

Raja Petra bukan hanya muflis dari sudut kewangan tetapi juga muflis idea bahan penulisan sehingga terpaksa berbohong dan memfitnah berterusan untuk menarik perhatian murahan untuk parti sokongannya. Bukan hanya kredibilitinya musnah tetapi kredibiliti parti sokongannya iaitu PAS juga terjejas teruk.

Penulisan serta tuduhan Raja Petra tanpa fakta dan hanya andaian dan tidak layak langsung untuk perbualan kedai kopi kaki lima.

Tiada lagi perlu saya memberi perhatian kepada seorang pendusta bersiri yang sudah lama hilang segala kredibiliti dan harga dirinya.

RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH
13 Ogos 2020

Sumber :