Mengapa Tangguh Parlimen? Ini Medan Buktikan PM Sekarang Cukup Sokongan

Penangguhan sidang Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung pada 9 Mac ini tetapi dianjak ke tarikh 18 Mei hanya memperlihatkan ketakutan blok kerajaan untuk berdepan dengan isu keyakinan ahli-ahli Parlimen.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, tindakan penangguhan itu jelas kelihatan blok kerajaan cuba mengelak perkara ini.

“Jika mereka yakin, sudah tentu sidang Dewan Rakyat yang dijadualkan pada 9 Mac ini akan diteruskan seperti biasa.

“Saya anggap ini hanya memberikan satu kemenangan moral kepada PH (Pakatan Harapan) kerana terbukti Perdana Menteri tidak yakin akan sokongan sehingga terpaksa melewatkan sidang Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan berhubung penangguhan sidang Dewan Rakyat ke tarikh baharu selepas pihaknya menerima surat pemakluman daripada Pejabat Perdana Menteri.

Menurutnya, surat pemakluman yang ditandatangani Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis, memaklumkan bahawa pihak kerajaan memutuskan Majlis Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 yang sepatutnya bermula pada 9 Mac 2020 ditunda kepada 18 Mei 2020 bersamaan 25 Ramadan 1441H.

Fahmi berkata, walau apa pun berlaku, PH bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Sama ada sidang Dewan Rakyat dibuat pada 9 Mac ke, pada 18 Mei atau paling lewat saya difahamkan boleh sampai kepada 5 Jun, saya percaya kami dalam blok pembangkang sentiasa bersedia.

“Kami yakin mempunyai majoriti untuk menyatakan ketidakyakinan terhadap Perdana Menteri kini,” katanya yang akur berhubung arahan penangguhan tersebut.