Mengamuk dengan 2 sabit, lelaki berjaya ditahan setelah 12 jam

Mengamuk

Mengamuk dengan 2 sabit, lelaki berjaya ditahan setelah 12 jam.Polis hari ini menahan seorang lelaki yang melarikan diri ke dalam kawasan hutan simpan rekreasi selepas mengamuk dan mengganggu pengguna lalu lintas dengan mengacukan dua bilah sabit di Jalan Bukit Gambir, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata dalam kejadian semalam sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian selepas Balai Polis Sungai Nibong di sini menerima laporan mengenai seorang lelaki yang dikatakan ‘buat kacau’ dengan menggunakan senjata tajam pada pukul 11 malam.

Beliau berkata sebaik tiba di lokasi, polis yang dibantu pasukan bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak mendapati lelaki berkenaan sedang membuat kecoh dengan memegang dua sabit, dan semasa hendak ditangkap, suspek melarikan diri ke dalam hutan simpan rekreasi Universiti Sains Malaysia (USM) berhampiran.

“Pasukan polis dan bomba telah menjalankan operasi mengesan lelaki itu namun ia terpaksa dihentikan kira-kira pukul 2 pagi tadi kerana keadaan gelap dan berisiko kepada pasukan keselamatan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mengamuk

Katanya polis bersama pasukan bomba menyambung operasi pencarian lelaki itu pada pukul 10 pagi tadi dengan masuk ke dalam hutan simpan rekreasi USM itu menggunakan pacuan empat roda dan kira-kira 10 minit kemudian pihaknya berjaya mengesan suspek di kawasan kabin tanaman milik USM.

BACA: Panas !!! Wanita ini dakwa berjaya rakam roh keluar dari jasad mangsa lemas

Soffian berkata suspek yang enggan menyerah diri telah bertindak agresif dan melarikan diri ke arah jalan utama iaitu Jalan Bukit Gambir serta bertindak menakutkan pengguna jalan raya dan penduduk di kawasan perumahan di situ.

Katanya setelah usaha berterusan, polis dengan bantuan pasukan bomba akhirnya berjaya menahan lelaki itu pada 11.40 pagi di kawasan Jalan Bukit Gambir dan pihaknya turut merampas dua bilah sabit yang digunakan suspek.

“Hasil siasatan awal mendapati lelaki berusia 53 tahun itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah serta dadah, dan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis heroin. Kami sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca serta motif dia berbuat demikian,” katanya.

Beliau berkata lelaki itu akan dirujuk ke hospital bagi menjalani rawatan dan penilaian tahap kesihatan mentalnya.

Menurutnya lelaki itu akan direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat menurut Seksyen 6(1) Akta Senjata Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Terdahulu tular di media sosial video seorang lelaki bersenjatakan dua sabit mengamuk sehingga cuba mencederakan pengguna jalan raya dan menimbulkan kerisauan orang ramai kerana dia melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/09/16/lelaki-mengamuk-acu-2-sabit-ditahan/

Baca: Ribuan kakitangan kesihatan diberhentikan kerja kerana tak mahu divaksin

COMMENTS

Wordpress (0)