Melancong : Individu lengkap 2 dos diharap dapat bersabar

Individu lengkap 2 dos diharap dapat bersabar.

Ketika kadar vaksinasi semakin meningkat dan musim panas yang akan tiba, pelancong yang sudah mendapatkan vaksin masih perlu bersabar dalam menentukan destinasi percutian di Eropah.

Ketika ini, Sijil Digital Covid-19 akan mula digunakan untuk perjalanan pengembara ke negara Kesatuan Eropah (EU) dengan pihak berkuasa bersetuju menerima pelancong menerima dos vaksin lengkap.

Bagaimanapun, setakat ini, butiran berhubung peraturan ini masih lagi berbeza-beza dalam kalangan negara anggotanya.

1. Perancis

Destinasi pelancongan ramai ini mula dibuka semula untuk pelawat yang lengkap divaksin bermula pada 9 Jun lalu.

Di bawah peraturan baharu, pelancong dari negara EU dan negara dalam senarai hijau Perancis seperti Korea Selatan, Jepun dan Israel dikecualikan saringan Covid-19.

Mereka hanya perlu menunjukkan pengesahan bebas Covid-19.

Perancis memperakui semua vaksin diluluskan Badan Kawal Selia Ubat-ubatan Eropah (EMA).

Selain itu, ia menganggap pelancong divaksin sepenuhnya iaitu dua minggu selepas menerima dos lengkap masing-masing Pfizer-BioNTech, Moderna dan AstraZeneca serta empat minggu selepas suntikan tunggal vaksin Johnson&Johnson.

2. Sepanyol

Sepanyol membuka sempadan negara untuk pelancong dari pelbagai negara, 7 Jun lalu.

Mereka yang datang dari negara yang dianggap berisiko dikecualikan daripada kuarantin dengan menunjukkan bukti lengkap sudah divaksin dengan vaksin diluluskan EMA atau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 14 hari sebelum ketibaan, bukti pulih daripada Covid-19 atau hasil ujian saringan yang negatif.

3. Jerman

Sebahagian besar perjalanan dari luar EU ke negara itu masih dihadkan pada masa ini.

Penumpang pesawat perlu menjalani ujian Covid-19 sebelum berlepas namun mereka yang sudah lengkap divaksin, dikecualikan daripada peraturan itu.

Semua vaksin yang dipersetujui EU, diterima di negara itu.

4. Greece

Pelancong dari 50 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Kanada, Rusia, China dan negara Eropah dibenarkan masuk ke negara ini.

Mereka hanya memerlukan sijil vaksin, keputusan ujian PCR negatif atau mengemukakan bukti sudah pulih daripada Covid-19.

Pihak berkuasa negara itu menerima pelancong yang sudah disuntik dengan vkasin Pfizer-BioNTech, Moderna, AstraZeneca, Novavax, Johnson&Johnson, Sinovax, Sputnik V, Cansino Biologics dan Sinopharm.

5. Cyprus

Pada 25 Mei lalu, negara ini mengumumkan akan menerima kedatangan pelancong dari beberapa negara termasuk negara anggota EU, Negara Ekonomi Eropah (negara EU dan Iceland, Liechtenstein serta Norway), Kanada, Mesir, Serbia, United Kingdom dan AS.

Mereka menetapkan peraturan iaitu pelancong dari senarai jingga atau merah perlu menjalani saringan Covid-19.

Bagaimanapun, mereka yang mempunyai sijil vaksin lengkap dikecualikan daripada peraturan itu.

6. Croatia

Penumpang yang tiba dari EU diklasifikasikan dengan kod warna jingga, merah atau merah tua di Pusat Pengendalian Penyakit Covid-19 Eropah dan boleh memasuki negara ini dengan menunjukkan sijil vaksin.

Croatia juga menerima bukti pemulihan daripada jangkitan Covid-19 atau hasil ujian negatif sebagai alternatif.

Bagaimanapun, penumpang yang tiba dari Afrika Selatan, Brazil dan India, masih perlu menjalani kuarantin.

Berita Penuh : https://www.hmetro.com.my/global/eropah/2021/07/726141/boleh-cuti-tapi

BACA JUGA : Hospital Lembah Klang mula alami kesesakan

CATEGORIES