MBPP lulus pelan naik taraf PIA, tambah kapasiti penumpang

Pelan naik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) telah diluluskan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), maklum Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau memaklumkan perkara tersebut ketika diajukan soalan berkaitan oleh Komander Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, Brigadier Jeneral Shaiful Azuar Ariffin dalam satu kunjungan hormat di pejabatnya pagi tadi.

Menurut Kon Yeow, kerja-kerja naik taraf sepatutnya dimulakan pada tahun ini dan proses tersebut kini cuma menunggu panggilan tender.

“Naik taraf yang akan dilakukan adalah daripada kapasiti 6.5 juta penumpang setahun kepada 12 juta penumpang setahun dengan melibatkan pembesaran terminal.

“Isu serta kekangan kini bukan pada kepanjangan landasan sebaliknya adalah kapasiti, kita (Kerajaan Negeri) masih ada tanah sekiranya ingin naik taraf sampai 20 juta penumpang.

“Tetapi sekiranya capai 20 juta penumpang, faktor kekangan adalah pada aspek landasan pula, terminal boleh tampung angka tersebut, tetapi penggunaan landasan oleh kapal terbang perlu tunggu pula. Justeru, perancangan pembesaran perlu teliti kedua-dua faktor ini bagi manfaat jangka panjang secara lebih menyeluruh,” jelasnya di sini.

Mengiringi Shaiful Azuar, Ketua Cawangan Tadbir Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth, Leftenan Kolonel Roslan Bakar dan Pegawai Bertugas, Leftenan Muhammad Fakhri Hizam Mohd. Nasir.

Difahamkan, Shaiful Azuar menerima tugas sebagai Komander Pengkalan pada 6 Mei lalu daripada Brigadier Jeneral Rozainy Ahmad.

Antara isu lain dibincangkan dalam pertemuan tersebut termasuk isu tanah dan penambakan laut, pembinaan jambatan ketiga daripada segi keselamatan, peranan TUDM dan lain-lain berkaitan.

Berita penuh : https://www.buletinmutiara.com/pembesaran-pia-perlu-teliti-manfaat-jangka-panjang/