MB Kedah nafi pegawai buat laporan polis terhadap Ebit Lew

DAKWAAN ADANYA LAPORAN POLIS DIBUAT TERHADAP USTAZ EBIT LEW
CUBAAN KAITKAN DENGAN YAB MB KEDAH

Saya kesal dengan tularan meluas di media sosial yang mengaitkan saya dan Pejabat Menteri Besar Kedah dengan tohmahan kononnya dermawan dan tokoh motivasi Ustaz Ebit Lew telah disoal-siasat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman susulan laporan yang difailkan oleh seorang pegawai saya.

Saya sama sekali tidak mengarahkan pegawai saya, baik pegawai pentadbiran mahupun pegawai politik di mana-mana peringkat sekalipun, untuk menfailkan laporan polis terhadap Ustaz Ebit Lew. Siasatan dalaman juga mendapati tidak ada pegawai saya, pentadbiran mahupun politik, membuat laporan polis, walaupun atas kapasiti peribadi. Pihak saya turut difahamkan polis bertindak dalam bidang kuasa yang dibenarkan untuk memanggil Ustaz Ebit Lew memberikan apa-apa keterangan yang diperlukan bagi maksud tertentu walaupun tiada laporan difailkan.

Dakwaan dan tohmahan itu telah mencemarkan nama saya, jawatan yang disandang dan Pentadbiran Kerajaan Negeri Kedah. Pihak saya sedang meneliti perkara ini dengan mendalam, serta menimbang tindakan perundangan ke atas pihak-pihak yang membuat tohmahan ini, khususnya di laman media sosial.

Saya ingin menjelaskan di sini bahawa Pentabiran Kerajaan Negeri Kedah tidak menyekat mana-mana pihak yang membuat kebajikan demi kesejahteraan masyarakat, asalkan ia mematuhi peraturan dan syarat yang ditetapkan termasuk peraturan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan serta panduan penjagaan kesihatan bagi mengelak jangkitan COVID-19.

Di kesempatan ini saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak, baik persatuan,badan bukan kerajaan, orang perseorangan dan dermawan seperti Ustaz Ebit Lew yang tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan pertolongan di Negeri Kedah.

Sekian, terima kasih. Selamat beribadah di bulan Ramadhan yang penuh Rahmat dan Barakah.

DATO’ SERI UTAMA HJ MUKHRIZ TUN MAHATHIR

Menteri Besar Kedah Darul Aman
Alor Setar, 25hb. April 2020